NAFI TARIK DIRI
Calon PH DUN Seri Setia dakwa tidak terima jemputan hadiri program debat
Calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar menafikan dakwaan kononnya beliau menarik diri daripada menghadiri program televisyen Agenda Awani bersama pesaingnya, Dr Halimah Ali, Rabu lalu.
Katanya, beliau sebenarnya tidak menerima jemputan berhubung program terbabit.
“Tidak timbul isu tarik diri atau takut nak berdebat sebab saya tidak dijemput menjadi tetamu undangan.
“Dari segi komunikasi, ada masalah tetapi yang pasti, saya tak terima apa-apa jemputan,” katanya mengulas isu tular di laman sosial yang mendakwa beliau menarik diri daripada berdebat bersama Dr Halimah.
Terdahulu, individu yang dikenali sebagai Roslan memuat naik kenyataan di laman sosial Facebook dan Twitter mendakwa, Halimey tidak matang dan menafikan peluang rakyat bagi menilai calon pemimpin terbaik kerana menolak peluang untuk berhujah.
Dalam perkembangan lain, Halimey yakin, masyarakat setempat tidak tergugat dengan isu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) atau isu janji 100 hari selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan.
“Mereka tak tanya pun malah saya pastikan isu yang dibangkitkan diberi perhatian supaya kebajikan semua terjaga.
“Saya penuhi jemputan program yang diaturkan kerana misi kami adalah mengekalkan PH di Seri Setia,” katanya.