KWAP beli hartanah RM280j di UK
Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) terus meningkatkan kehadirannya di pasaran antarabangsa yang sejajar dengan misinya untuk memberi manfaat kepada pesara Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, usaha itu dilaksanakan melalui pembelian dua kemudahan penginapan penuntut berharga RM280 juta di United Kingdom daripada IP Investment Management (HK) Ltd dan Maven Capital Partners.
Dua kemudahan penginapan penuntut terbabit ialah 800 Bristol Road yang terletak di Birmingham dan The Mill House di Edinburgh.
Beliau berkata, hartanah di Birmingham dan Edinburgh dengan purata hasil bersih kira-kira 5.08 peratus adalah sejajar dengan aspirasi KWAP untuk meningkatkan pendedahannya terhadap hartanah antarabangsa.
“Pembelian hartanah ini berpandukan peruntukan aset strategik dana itu yang pada masa ini merangkumi 40 peratus pendapatan tetap, 45 peratus ekuiti dan 15 peratus pelaburan alternatif.
“Pelaburan hartanah pula meliputi sembilan peratus daripada peruntukan untuk pelaburan alternatif, diikuti ekuiti swasta sebanyak empat peratus dan infrastruktur dua peratus,” katanya.
800 Bristol Road di Birmingham itu berada di Selly Oak dan terletak berhampiran dengan University of Birmingham serta dikelilingi Birmingham City University, Aston University dan University College of Birmingham. Siap sepenuhnya pada 2016, bangunan pegangan bebas empat tingkat itu menyediakan 103 kemudahan penginapan studio untuk pelajar dengan fasiliti bilik pawagam, gimnasium, bilik ulang kaji, dobi dan 11 tapak parkir kereta.
Sementara itu, The Mill House di Edinburgh pula terletak di lokasi strategik kerana berada di Koridor Pendidikan Edinburgh yang mempunyai empat universiti iaitu Heriot-Watt University, Edinburgh Napier University dan Queen Margaret University.
Ia setinggi enam tingkat dan mempunyai 23 bilik studio dan 234 unit suite serta gimnasium, bilik utama, bilik permainan, dobi dan 12 tapak parkir kereta.
Menurut Wan Kamaruzaman, setakat 31 Disember tahun lalu, hartanah asing adalah 75 peratus daripada pelaburan hartanah KWAP manakala selebihnya di pasaran tempatan.