Gesa isytihar harta sebelum hari mengundi
Shah Alam: PAS Selangor mahu kedua-dua calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia membuat pengisytiharan harta sebelum hari mengundi esok.
Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, ia perlu dilakukan agar rakyat berpeluang memilih calon yang paling layak serta bersih sebagai wakil mereka.
“Kami sudah membincangkan perkara ini dalam mesyuarat jawatankuasa bersama UMNO dan PAS sebentar tadi (semalam) dan kami bersetuju kedua-dua calon termasuk calon Pakatan Harapan (PH) Halimey Abu Bakar perlu mengisytiharkan harta mereka.
“Saya berasa proses berkenaan tidak mengambil masa yang lama terutama sebagai bekas ahli majlis, saya fikir tidak banyak yang perlu dikira,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama PAS dan UMNO di Pejabat PAS Selangor di Presint Alami di sini, semalam.
Hadir sama Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehin Mukhyi dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Ismail Sabri.
Sementara itu, bagi calon PAS, Dr Halimah Ali, beliau tidak mempunyai sebarang isu jika ada yang mahukannya mengisytiharkan harta sebelum hari mengundi.
“Sebagai bekas EXCO, saya pernah melakukan pengisytiharan aset dan ia boleh dilihat di laman sesawang kerajaan negeri.
“Saya tiada masalah jika ada yang mahukan saya melakukannya sekali lagi kerana tidak banyak pertambahan daripada apa yang sudah saya isytiharkan sebelum ini,” katanya.
Pada mesyuarat berkenaan, kedua-dua parti yang kini di blok pembangkang bekerjasama menyokong calon PAS Dr Halimah yang akan menghadapi Halimey.
Ismail pula berkata, pihaknya menyeru pengundi di Seri Setia keluar mengundi esok dan memberikan kemenangan kepada calon PAS.