MTUC kecewa
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kecewa dengan kadar gaji minimum baru RM1,050 atau RM5.05 sejam bagi seluruh negara yang diumumkan kerajaan, kelmarin.
Setiausaha Agung MTUC, J Solomon menyifatkan kerajaan mengkhianati golongan berpendapatan rendah atau B40 dalam menetapkan kadar gaji minimum itu dan terus memanjakan golongan peniaga.
Katanya, kenaikan RM50 daripada RM1,000 terlalu sedikit bagi golongan buruh di Semenanjung manakala kenaikan RM130 bagi Sabah dan Sarawak pula tidak membawa kadar gaji minimum untuk lebih tinggi berbanding paras kemiskinan di Sabah iaitu RM1,180.
“Kerajaan baru gagal mengambil kira gaji kehidupan wajar kepada golongan pekerja yang diumumkan dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2017, sedangkan gaji pemimpin tertinggi syarikat meningkat kerana kadar pasaran dicipta golongan korporat.
“Pekerja asing enggan bekerja jika dibayar gaji kurang RM70 sehari, sedangkan gaji minimum baru yang ditetapkan kepada pekerja tempatan RM35 sehari.
“Malah,
dilaporkan
pada 2016, pelarian Rohingya enggan bekerja dengan gaji RM1,500 sebulan, tetapi kerajaan memilih untuk menetapkan RM1,050 sebagai kadar gaji minimum baru,” katanya pada kenyataan, semalam.
Kelmarin, Pejabat Perdana Menteri pada kenyataan mengumumkan penetapan kadar gaji minimum seragam bagi seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam berkuat kuasa 1 Januari 2019.
Sebelum ini, Perintah Gaji Minimum 2016 memperuntukkan kadar gaji minimum RM1,000 sebulan bagi Semenanjung dan RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Solomon berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengecewakan golongan pekerja yang mengimpikan perubahan apabila kerajaan sebelum ini tidak lagi memerintah.