Petisyen antilambakan cili
Johor Bahru: Duti import yang lebih tinggi sehingga 20 peratus akan dikenakan terhadap negara pengeksport cili sekiranya dikesan menjadi penyebab kepada lambakan cili terdapat di pasaran tempatan ketika ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya kini mengumpul petisyen daripada penanam cili tempatan yang mendakwa terjejas akibat kejatuhan harga dengan lambakan cili import.
“Penyediaan petisyen itu perlu kita (MOA) penuhi, supaya ‘antilambakan’ cili yang berlaku dapat kita buktikan, selain perlu menyediakan laporan bagi mendepani isu seperti ini.
“Antilambakan ini terletak di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan petisyen ini perlu disediakan industri serta majoriti penanam cili, selain mereka perlu bersedia menghantar petisyen menyatakan berlakunya antilambakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Bicara Tani Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Bersama Pengusaha Cili di Dewan Pusat Islam Iskandar di sini, semalam.
Program bicara dua jam bermula jam 10 pagi itu turut dihadiri Ketua Setiausaha MOA Datuk Mohd Sallehuddin Hassan dan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak.
Salahuddin berkata, antilambakan berlaku apabila harga dijual lebih murah daripada di negara pengeksport dengan konsep mudah difahami berlaku ‘pembuangan harga’ di negara ini.
“Justeru kita memerlukan beberapa pembuktian dan perlu menghantar petisyen ini kepada MITI.
“Bagi pihak kementerian kita membantu menyediakan data kepada penyedia petisyen sebelum mereka menyerahkannya kepada MITI,” katanya.
Beliau berkata, MOA akan memaklumkan perkara itu kepada negara berkaitan sebelum duti import sehingga 20 peratus dikenakan kepada produk yang masih berada di negara asal, sekiranya benar-benar berlaku.
Mengulas lanjut katanya, Ketua Setiausaha MOA akan menyerahkan borang untuk dilengkapkan penanam cili sebagai petisyen sekiranya lambakan cili memang berlaku.
“Borang ini perlu diisi dengan lengkap supaya kementerian dapat bertindak sekiranya benar-benar berlaku lambakan cili hingga harganya jatuh.
“Kita bertanggungjawab mengambil sebarang tindakan sekiranya benar ada laporan dilaporkan petani bagi mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Katanya, kementerian sentiasa mengambil tahu segala isu dibangkitkan pengusaha cili dengan rata-ratanya mahu kerajaan memperjuangkan dari segi harga.
“Di mana penanam cili pada hari ini menghadapi tekanan harga hingga tidak dapat menampung kos pengeluaran dari projek dilaksanakan itu,” katanya.
Katanya, FAMA turut mengambil inisiatif meletakkan harga ladang bagi cili RM4.50 sekilogram sekali gus memanfaatkan 800 petani terutama mengusahakan projek ladang kontrak FAMA.