Selalu rujuk ‘Senarai Produk Yang Diharamkan’
Namun, kebelakangan ini timbul produk kesihatan sama ada berdaftar mahupun tidak yang dikesan dicemari atau mengandungi bahan terlarang. Penemuan ini dimaklumkan kepada masyarakat melalui siri kenyataan rasmi KKM dari semasa ke semasa.
Bagaimana pengguna boleh buat pilihan terbaik untuk kesihatan diri dan ahli keluarga yang menggunakan produk berkenaan?
Senarai Produk Yang Diharamkan, dulu dikenali sebagai PharMel Blacklist disediakan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM sebagai bahan rujukan dan panduan tambahan kepada orang awam untuk membuat semakan status keselamatan sesuatu produk sebelum membelinya.
Senarai Produk Yang Diharamkan juga bertujuan memberi maklumat kepada usahawan industri kesihatan dan kecantikan, peniaga, agensi penguat kuasa serta orang ramai berkaitan produk kesihatan, kosmetik dan produk makanan atau minuman yang dicemari racun atau bahan kimia terlarang. Produk berkenaan dilarang penjualannya oleh KKM.
Pencarian dalam Senarai Produk Yang Diharamkan cepat dan mudah. Pengguna hanya perlu menaip nama produk dan semakan boleh dilakukan sama ada produk itu pernah dikesan mengandungi racun atau bahan kimia terlarang.
Maklumat senarai produk yang diharamkan adalah kompilasi secara komprehensif daripada pelbagai sumber termasuk Bahagian Regulatori Farmasi Negara, Program Perkhidmatan Farmasi, kenyataan akhbar dan sebagainya.
Merujuk pada Senarai Produk Yang Diharamkan, pengguna boleh mengetahui latar belakang keselamatan sesuatu produk yang ingin dibeli dengan mudah.
Masyarakat juga perlu maklum bahawa ada sebahagian produk di pasaran yang mendakwa boleh memberi kesan yang cepat sehingga menimbulkan keraguan tahap keselamatannya.
Produk seperti ini mungkin mengandungi racun berjadual seperti sibutramine, hydroquinone, dexamethasone, sildenafil, ibuprofen, chlorpheniramine, metformin dan lain-lain lagi.
Senarai Produk Yang Diharamkan boleh didapati melalui laman web rasmi Program Perkhidmatan Farmasi, www.pharmacy. gov.my (Dokumen &
Media Penerbitan Banned Product (Senarai Produk Yang Diharamkan) yang boleh dimuat turun secara percuma.
Namun, Senarai
Produk Yang Diharamkan harus digunakan hanya sebagai bahan rujukan tambahan. KKM tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian atau kerosakan yang disebabkan penggunaan senarai ini.
Pengguna diingatkan untuk sentiasa menyemak status pendaftaran produk kesihatan dan notifikasi kosmetik melalui laman web rasmi yang sama.
Sebarang pertanyaan, boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre - NPCC) melalui talian 1800-88-6722, Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang untuk mendapatkan maklumat tepat yang boleh menyelamatkan nyawa.
Disediakan Low Chern Fuong, Pegawai Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Melaka