Mungkir janji ciri munafik
Saya tertarik dengan filem yang sedang rancak ditayangkan di pawagam sekarang, iaitu Munafik 2.
Rasulullah SAW ada menceritakan mengenai ciri orang munafik dalam satu hadis riwayat Imam Muslim.
Hadis itu bermaksud: “Antara tanda-tanda orang munafik ada tiga iaitu jika bercakap dia bohong. Apabila berjanji, dia ingkar dan sekiranya diberikan amanah, dia khianat.”
Sebagai rakyat Malaysia, kita sering mendengar ungkapan
‘Janji Melayu’. Biasanya ungkapan itu membawa kepada maksud negatif iaitu merujuk kepada janji yang tidak ditepati. Adakah benar masyarakat Melayu suka mungkir janji?
Selain itu, peribahasa ‘menanam tebu di tepi bibir’ adalah berkaitan perilaku suka mengeluarkan kata-kata manis atau menabur janji tetapi tidak berusaha menunaikannya.
Sebagai orang yang dididik dengan ajaran Islam, pasti kita sedia maklum memungkiri janji itu satu dosa besar. Perbuatan itu bukan saja menghakis budaya tetapi mencemar kesucian, kemurnian ajaran Islam dan memporak perandakan masyarakat.
Terdapat pelbagai ragam berkaitan janji tidak ditepati tanpa mengira peringkat antaranya:
• Pemimpin masyarakat atau organisasi menabur janji manis kepada rakyat tetapi tidak ditunaikan.
• Ahli politik berusaha menarik sokongan ramai dengan pelbagai janji, namun sudah diketahui tidak mampu untuk dilaksanakan.
• Seorang rakan berjanji kepada kawannya untuk melakukan sesuatu, namun tidak melaksanakannya.
Sesiapapun yang berani berjanji tetapi tidak dapat menyempurnakan janjinya.
Maka, dia tergolong dalam golongan yang Rasulullah maksudkan di dalam hadis itu.
Janji adalah satu perkara yang amat dititikberatkan dalam Islam. Menepati janji adalah tuntutan syarak sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Israk, ayat 34 yang bermaksud: “Dan penuhilah janji kerana janji itu pasti diminta untuk dipertanggungjawabkan.”
Sebab itulah, jangan ambil mudah membuat janji sekiranya sukar ditepati, apatah lagi dimungkiri.
Memungkiri janji bukan saja mengundang dosa dan kemurkaan Allah, bahkan menyebabkan berlakunya kesusahan kepada orang lain.
Bagaimanapun, orang yang berjanji dan berazam akan menyempurnakannya, tetapi terhalang oleh sebab keuzuran menyebabkan janji itu tidak mampu disempurnakan, maka tidak termasuk dalam golongan munafik selagi mana dia berusaha menunaikannya.
Memungkiri janji adalah ciri orang munafik, manakala apabila ditunaikan termasuklah mereka sebahagian daripada orang-orang yang bertakwa kepada Allah.
Allah berfirman dalam
Surah al-Baqarah, ayat 177 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menepati janji apabila berjanji, mereka itulah orang yang benar-benar beriman dan mereka itulah juga orang yang bertakwa.
Pandanglah dengan rahmah, Ubahlah dengan berhikmah
Islam itu membawa erti kesejahteraan, kedamaian dan keamanan. Hakikatnya, semua makna itu menjurus kepada maksud kemerdekaan.
Bagi seorang Muslim, kita perlu memanjatkan rasa kesyukuran kerana dapat menikmati erti kebebasan dan kemerdekaan.
Kebebasan bukan saja memberi ‘lesen’ untuk menentukan corak hidup, tetapi yang lebih penting dapat membebaskan diri dan pemikiran daripada sifat jahiliah.
Saya berasa amat bertuah lahir sebagai anak Malaysia dan dilahirkan selepas kemerdekaan.
Untuk meraih kemerdekaan bukan satu tugas mudah, pelbagai pengorbanan dilakukan dan sudah dilaksanakan oleh bapa, datuk dan nenek moyang kita terdahulu.
Tidak kira bangsa sama ada Melayu, Cina, India dan lainlain etnik, semuanya bersatu hati dalam memperjuangkan usaha murni itu.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (mengenai benar dan indahnya), yang berulangulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya..” (Surah az-Zumar: 23)
Sebagai negara Islam, ia hendaklah dijadikan payung besar bagi melindungi seluruh rakyat.
Cuma dibimbangi sekarang, masyarakat kita seperti sudah hilang rasa malu, sopan santun dan budi bahasa.
Dulu Malaysia terkenal dengan semangat permuafakatan. Suasana itu sudah berubah kerana masingmasing suka mencari kesalahan dan saling memaki-hamun.
Asalkan hati puas, perasaan orang lain diketepikan. Perbuatan mereka itu jelas tidak dapat membezakan mana satu fitrah dan nafsu.
Sekarang isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sedang hangat diperbincangkan.
Mungkin ada yang marah jika saya kata mereka yang terbabit dengan LGBT itu masih dijajah dengan hawa nafsu.
Mereka masih belum merdeka dan kenal diri sendiri. Isu itu memang sudah berlaku sejak zaman nabi terdahulu. Sehinggakan ada yang ditelan bumi kerana dimurkai Allah.
Mungkin ada yang menganggap perkara itu tidak perlu diperbesarkan. Itu hak masing-masing selagi tidak mengganggu kehidupan orang lain, tetapi bagi saya ia sangat mengganggu.
Kita perlu berasa bimbang dengan masa depan anak-anak kita kelak. Dalam mendepani isu itu, bantulah mereka dengan berhikmah supaya golongan ini kembali menjadi insan terbaik di sisi Allah.
Allah turunkan al-Quran untuk dijadikan panduan kepada seluruh manusia. Di dalam kalam Allah ada menceritakan kisah umat terdahulu yang dibinasakan kerana mengingkari perintah Allah.
Semua kejadian yang berlaku itu membolehkan kita samasama dapat mengambil iktibar.
Nabi Nuh misalnya, berdakwah kepada umatnya selama 950 tahun. Namun yang beriman hanya sekitar 80 orang saja. Kaumnya mendustakan dan mempermain-mainkan ajaran yang disampaikannya.
Lalu, Allah mendatangkan banjir besar sehingga menenggelamkan mereka yang ingkar, termasuk anak dan isteri Nabi Nuh sendiri.
Begitu juga dengan kaum Saba’, mereka diberi pelbagai kenikmatan seperti kebunkebun untuk kemakmuran rakyat Saba’.
Walaupun sudah diberi peringatan oleh Nabi Sulaiman, namun mereka tetap enggan beribadat kepada Allah.
Akhirnya, Allah menghancurkan mereka dengan banjir besar.
Allah berfirman yang bermaksud: “Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.” (Surah Saba: 15-19).
Senyum selalu,
Selalu bersangka baik, Insya-Allah hati tenang