NAIK TARAF GURU KAFA
36,000 dilantik ke jawatan tetap
Kira-kira 36,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) akan dilantik ke jawatan tetap selepas kerajaan menjalankan kajian teliti.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, perkara itu dalam pertimbangan kerajaan dalam usaha membela kebajikan golongan itu dan kajian terbabit dijangka mengambil masa setahun.
“Kita melihat peluang untuk menaik taraf jawatan guru KAFA ini melalui skim perjawatan tetap dalam kerajaan, berdasarkan beberapa syarat membabitkan kelayakan pensijilan, latihan pendidikan dan perjawatan secara tetap.
“Tujuan utama kita cadangkan mereka ini dilantik secara tetap ialah untuk menjaga kebajikan, ini termasuk imbuhan pencen, insuran kesihatan dan elaun lain yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) di Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan Pahang di sini, semalam.
Cadangan itu dikemukakan di Parlimen pada Ogos lalu dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku penyelaras KAFA diberi tanggungjawab melaksanakan kajian terbabit dalam usaha menaik taraf status guru KAFA, termasuk dilantik sebagai penjawat tetap dan meningkatkan kemahiran mereka melalui kursus bersesuaian.
Sementara itu, Fuziah meminta ibu bapa mengambil kira tahap keselamatan sesebuah pusat tahfiz termasuk lesen operasi pusat tahfiz, sebelum menghantar anak mereka.
Katanya, dua perkara itu sangat penting bagi memastikan pusat tahfiz terbabit bertanggungjawab jika berlaku insiden tidak diingini di premis kendalian mereka.
“Kalau boleh, pilihlah (pusat tahfiz) yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri dan mempunyai kelulusan (bangunan) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). Ini adalah untuk tujuan keselamatan anak mereka juga.
“Sebenarnya kita (agensi kerajaan yang bertanggungjawab memantau pusat tahfiz) kekurangan kakitangan untuk memantau semua pusat tahfiz yang tumbuh seperti cendawan. Oleh itu, saya sangat berharap ibu bapa turut sama memainkan peranan dalam membantu kami,” katanya.
Beliau berkata, selain insiden seperti kebakaran di pusat tahfiz, kejadian penderaan pelajar pusat tahfiz di Kuantan seperti yang dilaporkan tidak lagi berulang jika ibu bapa lebih peka dengan operasi pusat tahfiz itu.
Mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan tidak menyalurkan peruntukan kepada pusat tahfiz tidak berlesen, Fuziah berkata, keputusan itu diambil untuk memastikan semua pengusaha pusat tahfiz yang masih belum berdaftar dengan kerajaan melakukannya secepat mungkin.
“Ini adalah isu perspektif atau tanggapan masyarakat. Ada yang marahkan kerajaan kerana tidak membantu pusat tahfiz yang tidak berdaftar ini dan sebenarnya kita boleh bantu, dengan syarat, mereka kenalah berdaftar dulu.
“Kalau mereka tidak berdaftar, ia seperti beroperasi secara tidak sah dan pemiliknya boleh dikira sebagai tidak bertanggungjawab,” katanya.