PJ Rangers, MOF FC sedia isi tempat TCFC
Kuala Lumpur: PJ Rangers dan MOF FC bakal mengisi tempat Terengganu City FC (TCFC) di Liga Perdana musim depan, jika juara Piala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu gagal mematuhi syarat pelesenan kelab seperti yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Kegagalan itu termasuklah soal pengukuhan kewangan kelab dan harus bebas daripada segala hutang membabitkan tunggakan gaji serta pampasan baki kontrak kepada pemain atau pegawai pasukan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Mohd Firdaus Mohamed(gambar) berkata, sekiranya TCFC tidak layak bertanding, pihaknya akan menawarkan slot berkenaan kepada dua pasukan yang tewas di separuh akhir.
Kedua-dua pasukan itu akan beraksi dalam penentuan playoff bagi mencari pemenang untuk mengisi tempat itu yang ditinggalkan TCFC.
“Ia terpulang kepada MFL (terima atau menolak) kerana peraturan mereka lebih ketat berbanding kita di peringkat pertandingan bawahan kelolaan FAM.
“Namun jika Terengganu City tak berjaya melepasi peraturan berkenaan, kita perlu mencari pengganti dengan tawaran akan diberikan kepada dua pasukan yang tumpas di separuh akhir.
“Dan jika kedua-dua pasukan terbabit menerima tawaran, kemungkinan akan ada satu perlawanan playoff bagi mencari pasukan yang layak beraksi di Liga Perdana,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, semalam.
TCFC yang layak ‘dinaikkan pangkat’ ke Liga Perdana bersama Selangor United berdepan masalah besar apabila Jawatankuasa Status FAM mengarahkan mereka menyelesaikan tunggakan gaji dan pampasan baki kontrak kepada enam pemain mereka berjumlah RM283,000 dalam tempoh sebulan.
“Saya yakin isu ini dapat diselesaikan dengan baik oleh pihak Terengganu City. Mereka masih mempunyai masa untuk mencari penaja dan sebagainya.
“Bagaimanapun, jika mereka tetap untuk menarik diri, kita tidak mempunyai masalah dan seperti saya katanya ia akan ditawarkan kepada dua pasukan lain,” katanya.
Terdahulu, PJ Rangers tewas kepada Selangor United di separuh akhir Piala FAM dengan agregat 4-3, manakala MOF FC pula dikecewakan menerusi peraturan gol tempat lawan selepas terikat 2-2 secara agregat dengan TCFC.