Harga munasabah
Program HPR2018 bantu orang ramai miliki kediaman
Penganjuran Program Jerayawara Rumah dan Hartanah 2018 (HPR2018) di Pusat Beli-Belah Aeon Mall di sini, bermula 7 hingga 11 November ini diyakini mampu membantu orang ramai memiliki kediaman pada harga munasabah.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur HPR2018 Peter Pau Kiu Sung berkata, sepanjang lima hari berlangsung, program itu menyediakan pelbagai pilihan hartanah, termasuk rumah kediaman yang menawarkan harga jualan sepadan dengan bajet setiap lapisan pembeli berpotensi.
“Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (SHEDA) menjangka harga rumah meningkat di bandar raya ini menjelang tahun depan atas beberapa faktor berkaitan, termasuk keadaan ekonomi semasa.
“Justeru, kita menganjurkan program ini untuk kali kedua bagi membantu orang ramai memiliki hartanah masing-masing, termasuk rumah kediaman pada harga yang mampu dibayar mereka sebelum penghujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media HPR2018 di ibu pejabat SHEDA semalam.
Kiu Sung berkata, sepanjang program, syarikat pempamer menawarkan pilihan rumah berharga kurang daripada RM300,000 seunit sehingga lebih RM1 juta, bergantung kepada kemampuan masing-masing.
Bagaimanapun, pihaknya belum dapat menganggarkan peratusan kenaikannya berikutan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) baru saja diperkenalkan dan ketika ini, jualan rumah di Kuching agak perlahan.
“Kita juga ada dimaklumkan bahan binaan seperti simen dan besi tidak akan dikenakan SST namun ini dijangka hanya memberikan kesan pada harga rumah baru yang dibina selepas bermulanya kutipan SST.
“Jadi, rumah dan hartanah yang dibina ketika bahan binaan di negara ini masih dikenakan kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), harga jualannya juga akan termasuk kos pembayaran cukai itu yang dikenakan kepada pemaju,” katanya.
Justeru, beliau menggalakkan orang ramai yang mahu membeli rumah untuk mengunjungi acara terbabit, yang keseluruhannya menyediakan 38 ruang pameran dengan 14 daripadanya ditempah syarikat pemaju, pembekal bahan binaan dan institusi kewangan.