SULTAN JOHOR, TMJ ‘DIINTIP’
Tunku Ismail dakwa laman sosial diintip pihak tertentu guna teknologi buatan Israel
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ismail mendakwa media sosial milik beliau dan ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar diintip individu tertentu menggunakan teknologi buatan Israel.
Perkara itu didedahkan di laman Facebook (FB) milik beliau, HRH Crown Prince of Johor malam kelmarin yang turut mendakwa, ramai cybertroopers diletakkan di laman sosial milik pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Beliau berkata, alat berkenaan yang dimiliki kerajaan digunakan untuk tujuan pengintipan dan mengumpul data selain digunakan sebelum pilihan raya bagi membantu dalam perang siber.
“Beberapa pegawai kerajaan berjumpa saya dengan menyatakan bahawa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Unit Khas (SB), SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan Pejabat Perdana Menteri turut menggunakan peralatan ini.
“Bila ia berkaitan dengan keselamatan negara, saya berpendapat ia sesuatu yang sangat berharga. Namun, peralatan ini tidak patut diseleweng mana-mana pihak untuk kepentingan sendiri.
“Adalah sangat tidak baik apabila ada pegawai yang menyampaikan pesan bahawa saya dan ayahanda saya, DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Sultan Johor sedang diperhatikan. Ramai juga cybertroopers diletakkan pada halaman JDT serta laman peribadi kami seperti Official Sultan Ibrahim dan HRH Crown
Prince of Johor atas perasaan kurang senang oleh beberapa pihak atasan,” katanya.
Menurut beliau, teknologi berkenaan digunakan kerajaan sebelum ini, namun tidak sepatutnya berlaku dalam era Malaysia baharu.
Tunku Ismail yang juga pemilik kelab JDT berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan kerajaan yang memerintah dan sentiasa memberikan sokongan.
“Saya tidak akan berdiam diri jika ada beberapa parti yang ingin mengambil kesempatan memecahbelahkan perpaduan Bangsa Johor yang unik ini.
“Biar saya jelaskan sekali lagi bahawa saya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan kerajaan. Johor sentiasa menyokong penuh kerajaan yang memerintah.
“Dengan itu, kami akan menyokong segala keputusan yang betul. Namun, kami juga tidak akan berdiam diri apabila berlaku keputusan yang salah.
“Akhir kata, satu-satunya perkara yang rakyat mahukan adalah kerajaan mengutamakan kemajuan, bukannya bertelagah di dalam negara. Saya berdoa semoga kerajaan menepati janji-janji kepada rakyat,” katanya.