Dikerumun macam lauk
Lelaki parah dipukul akibat masalah peribadi di luar pusat hiburan
Masalah peribadi dipercayai punca seorang lelaki menjadi ‘lauk’ hingga parah selepas dibelasah sekumpulan lelaki lain di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Jugah di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1 pagi, mangsa yang berusia 36 tahun ditemui terbaring berlumuran darah oleh orang awam di luar pusat hiburan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, kekecohan antara mangsa dan suspek dipercayai bermula di dalam pusat hiburan berkenaan sebelum berlarutan hingga berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua individu terbabit.
Menurutnya, mangsa dan suspek yang belum dapat dikenal pasti identitinya dikatakan bertegang urat di dalam pusat hiburan berkenaan kerana masalah peribadi.
“Mereka kemudian dilihat keluar dari pusat hiburan itu sebelum bertumbuk. Kemudian mangsa ditinggalkan dalam keadaan lemah dan berlumuran darah manakala suspek melarikan diri.
“Selain itu, mangsa hanya ditemui orang awam yang kebetulan melalui pusat hiburan itu sebelum membawanya ke sebuah hospital swasta di bandar ini untuk rawatan lanjut,” katanya, semalam.
Beliau berkata, polis yang mendapat maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi untuk siasatan lanjut bagi mengesan suspek.
Katanya, mangsa yang berasal di Bintulu disahkan stabil dan masih menerima rawatan di hospital berkenaan serta operasi mengesan suspek kini giat dijalankan.
Tambahnya, polis turut berusaha mengesan saksi awam yang berada di lokasi ketika kejadian untuk siasatan lanjut bagi membantu siasatan.
“Malah, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian gaduh itu dan suspek turut diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu polis mengesan individu terbabit,” katanya. Serian: Seorang lelaki maut selepas kereta dinaikinya bertembung dengan pacuan empat roda di Kilometer 76, Jalan Kuching-Sri Aman di sini, malam kelmarin.
Mangsa, Thomas Inggol Unggau, 42, yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada leher dan kaki.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian jam 8.10 malam itu berlaku apabila kereta Proton Saga yang dinaiki mangsa bersama dua rakannya dari arah Serian tiba-tiba hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
Pada masa sama, katanya, sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu se orang pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) berusia 30 tahun dari arah Sri Aman gagal mengelak kereta mangsa yang terbabas lalu berlaku pertembungan.
Beliau berkata, akibat pertembungan itu, Proton Saga terbabit terbakar namun pemandu dan dua penumpangnya dikeluarkan oleh orang awam.
“Pegawai RELA yang memandu Toyota Hilux dan pemandu kereta Proton Saga berusia 34 tahun cedera ringan manakala seorang lagi penumpang kereta yang berusia 17 tahun patah kedua-dua kaki.
“Ketiga-tiga mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut manakala mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Alexson berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.