‘Remuk hati saya’
Lelaki kesal tindakan segelintir individu perlekeh usaha ubati anak tak mampu bergerak
“Sebagai bapa, remuk hati saya apabila dapat tahu ada yang memperlekehkan usaha untuk memastikan Ahmad Wafiy mendapat rawatan terbaik dan sempurna,” kata bapa kepada kanak-kanak yang menghidap Sindrom Morquio Adli Sham Abas, 40.
Dia kesal dengan tindakan segelintir individu yang cuba memperlekehkan usahanya untuk mengubati Ahmad Wafiy, 7, yang tidak mampu bergerak kerana fizikalnya berkeadaan lembut seluruh tubuh.
Adli Sham berkata, individu berkenaan mengeluarkan pelbagai kenyataan menerusi Facebook mendakwa dia tidak perlu menghabiskan wang ringgit yang banyak semata-mata untuk mengubati anaknya kerana berpandangan kanak-kanak itu tidak akan dapat dipulihkan.
“Saya kesal dengan tindakan mereka yang mengeluarkan pelbagai kenyataan tidak baik menerusi media sosial yang dilihat cuba memperlekehkan usaha kami sekeluarga.
“Tindakan mereka seolah-olah menafikan apa yang kami lakukan selama ini untuk memastikan Ahmad Wafiy mendapat rawatan dengan harapan dia pulih daripada penyakit dihidapi dan menjadi seperti kanak-kanak normal,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan isteri Menteri Besar Negeri Sembilan Wan Hasni Wan Yusof di kediaman ibunya di Rumah Rakyat Panchor, semalam.
Wan Hasni menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan makanan keperluan harian khusus yang digunakan Ahmad Wafiy seperti susu dan air rawatan.
Ahmad Wafiy menghidap Sindrom Morquio dan tidak mampu menguruskan dirinya menyebabkan ibunya, Norliyana Abdullah, 31, perlu berada di sisinya setiap masa.
Harian Metro sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya RM2,000 diperlukan sebulan untuk membiayai kos rawatan Ahmad Wafiy.
Anak tunggal itu memerlukan rawatan susulan pada setiap bulan dan ini termasuk pengangkutan berulang-alik ke hospital.
Keluarga berkenaan kurang berkemampuan untuk menyediakan kos membiayai kos rawatan kanak-kanak berkenaan dan kini mengharapkan sumbangan daripada pelbagai pihak dan orang ramai.
Adli Sham berkata, dia tidak akan melayan pandangan individu berkenaan kerana doktor sendiri menyarankan supaya Ahmad Wafiy terus diberikan rawatan di hospital selain rawatan alternatif.