Sekat hak rakyat
Mahkamah Persekutuan putuskan kerajaan boleh kemuka saman fitnah
Keputusan Mahkamah Persekutuan memutuskan kerajaan persekutuan dan negeri boleh mengemukakan saman fitnah terhadap individu mengehadkan hak rakyat untuk bersuara.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, walaupun dalam undang-undang ada ruang luas dan terbuka untuk mengembangkan sistem perundangan, ia meletakkan hak kerajaan sama dengan individu jika kerajaan dibenarkan berbuat demikian.
Mohamed Haniff berkata, ia mengehadkan hak rakyat memberikan pandangan dan meluahkan kritikan kepada mana-mana kerajaan yang bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan bersuara.
Beliau berkata, adalah sukar untuk menyatakan kerajaan persekutuan dan negeri mempunyai hak untuk mengambil tindakan itu terhadap individu kerana ia (kerajaan) adalah satu konsep bukan individu yang tidak mempunyai maruah untuk memfailkan saman fitnah.
Sehubungan itu, katanya, konsep kritikan terhadap kerajaan tidak boleh diletakkan di bawah undang-undang sivil.
“Ia kerana ada jalan lain yang boleh diambil kerajaan mengikut peruntukan undang-undang lain seperti undang-undang jenayah, tetapi bukan melalui undang-undang fitnah.
“Undang-undang fitnah membabitkan remedi dalam bentuk ganti rugi, takkan kerajaan hendak mengambil ganti rugi disebabkan oleh maruahnya?” katanya.
Sementara itu, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu portal bahasa Inggeris Free Malaysia Today bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan itu adalah cacat.
Sri Ram berkata, Akta Prosiding Kerajaan 1956 (yang membenarkan kerajaan memfailkan saman fitnah terhadap individu) adalah undang-undang pra-Merdeka.
Beliau berkata, sebagai undang-undang pra-Merdeka, ia mesti selari dengan Perkara 162 (6) Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang tertinggi negara.
Oleh itu, katanya, hak kerajaan untuk menuntut mestilah tertakluk kepada Perkara (10) (1) (a) yang termasuk hak untuk mengkritik kerajaan tanpa sekatan,” katanya.
Sri Ram berkata, di bawah Perkara 5 (1), kebebasan peribadi seseorang tidak boleh diambil kecuali mengikut undang-undang.
Katanya, undang-undang itu termasuk undang-undang lazim England iaitu kerajaan tiada sebarang reputasi untuk dipertahankan.
Dalam prosiding semalam, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop memutuskan bahawa kerajaan persekutuan dan negeri boleh memfailkan saman fitnah terhadap individu.
Keputusan itu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 April 2016, sekaligus menolak rayuan dikemukakan Ahli Parlimen Kuching Chong Chieng Jen.
Chieng Jen yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa kerajaan negeri dan pihak berkuasa kewangan kerajaan negeri boleh memfailkan saman fitnah terhadapnya.
Dalam keputusan sebulat suara itu, Ahmad memerintahkan supaya kes saman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan selepas mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila memutuskan Chieng Jen bertanggungjawab memfitnah (melalui penerbitan) tanpa mendengar pembelaannya.