MHC hantar surat rayuan kepada FIH
Kuala Lumpur: Skuad hoki negara tiada jalan lain kecuali perlu melalui kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung tahun depan seandainya ingin beraksi pada temasya berprestij itu.
Perkembangan itu susulan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Thierry Weil yang menegaskan adalah sukar untuk mengubah sistem kelayakan Sukan Olimpik yang ditentukan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan bukannya badan induk berkenaan.
CEO Persekutuan Hoki Asia (AHF), Datuk Tayyab Ikram sebelum ini mengesahkan sudah mengemukakan surat cadangan kepada FIH untuk pemenang pingat perak acara lelaki dan wanita di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Bagaimanapun Weil seperti dipetik daripada laman web thehockeypaper.co.uk yang disiarkan semalam berkata: “Kami sudah memberi maklum balas kepada mereka (AHF) menerangkan bahawa sistem kelayakan untuk Sukan Olimpik ditentukan oleh IOC dan bukannya FIH.
“Kami juga menjelaskan oleh kerana ia adalah sistem kelayakan IOC, jadi adalah mustahil untuk FIH mengubahnya. Ia tidak adil kepada pasukan benua lain untuk mengubah sistem kelayakan selepas baru berakhir satu kempen kelayakan benua (Sukan Asia).”
Bagaimanapun, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya akan menunggu keputusan muktamad pada kongres FIH yang berlangsung November depan.
“Kami sudah menghantar surat pertama kepada CEO FIH dua minggu lalu.
“Semalam kami menghantar sekali lagi surat rayuan serta fakta dan dokumen sokongan kepada CEO FIH dan Presiden AHF untuk dipertimbangkan pada kongres FIH di New lapangan terbang. Berikan dia sedikit ruang dan masa, saya pasti dia akan mengadakan sidang media tidak lama lagi,” kata Norza. Delhi dari 1 hingga 3 November depan,” katanya.
Malaysia tewas menerusi penentuan penalti pada aksi final Sukan Asia kepada Jepun sekali gus terlepas peluang untuk layak secara automatik ke Tokyo kerana hanya pemenang emas saja berhak mendapat slot itu.
Situasi sama berlaku kepada skuad wanita India yang tewas kepada Jepun pada aksi final.
Mengikut format FIH, sekiranya Jepun muncul juara di Sukan Asia, maka kuota ke Olimpik itu akan dibawa ke kempen kelayakan ke Sukan Olimpik yang berlangsung tahun depan.
Kempen itu bermula pada Final Siri Hoki yang berlangsung dari 23 April sehingga 1 Mei 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dengan hanya dua pasukan terbaik akan mara ke Acara Final Kelayakan Olimpik hujung tahun depan yang menjadi peringkat terakhir sebelum layak beraksi di Tokyo.