Harian Metro

Tak kisah diundi bertemu Woods

- AFP

„ Molinari cuba tamat kemarau Piala Ryder

Juara Terbuka British, Francesco Molinari tidak kisah jika diundi bertemu Tiger Woods pada aksi Piala Ryder hujung minggu ini manakala pendatang baharu dari Amerika Syarikat, Bryson DeChambeau pula sedia berganding­an dengan bekas pemain nombor satu dunia itu.

Woods menjadi tumpuan peminat pada sesi latihan pertama kelmarin dan mendapat perhatian pemain lain pada pertembung­an dwitahunan antara juara bertahan Amerika Syarikat dan Eropah.

Bagi Molinari, bertemu pemenang 14 kali kejuaraan utama Woods bakal mengulangi pertembung­an pada hari terakhir di Carnoustie, Julai lalu apabila pemain Amerika Syarikat itu mendahului seketika pada sembilan lubang terakhir sebelum tewas di tangan bintang Itali itu.

Ia juga ulangan Piala Ryder 2012, apabila Eropah melengkapk­an kemenangan dalam kebangkita­n menakjubka­n di Medinah ketika Woods dan Molinari masih beraksi di lapangan.

Bagi Molinari, yang belum pernah memenangi perlawanan Piala Ryder, adalah amat penting untuk cuba menamatkan kemarau itu menentang Woods, yang mengakhiri kemarau kejuaraan lima tahun pada Kejuaraan Jelajah di

Atlanta, Ahad lalu.

“Ya, saya ingin bermain dengannya,” kata Molinari.

“Sukar untuk menyatakan anda ingin bertemu Tiger dalam perlawanan terakhir Piala Ryder seperti di Medinah kerana ia cukup tegang. Tekanannya terlalu tinggi.

“Saya tidak tahu jika saya diundi bertemu dengannya lagi minggu ini. Saya akan lakukan yang terbaik seperti selalu dan dia jelas sekali berada pada prestasi terbaiknya. Saya gembira melihat dia menang minggu lalu.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia