Harian Metro

Simona alami kekalahan mengaibkan

-

China: Pemain nombor satu dunia Simona Halep berdepan kekalahan mengaibkan pada hari penuh kejutan di Terbuka Wuhan kelmarin apabila pemain Romania itu tersingkir dalam dua set di tangan Dominika Cibulkova.

Penonton yang menyaksika­n perlawanan lewat malam itu tergamam apabila Simona yang kehilangan arah gagal memenangi sebarang perlawanan menentang pemain Slovakia itu pada set pertama.

Juara Terbuka Perancis itu mengalami kecederaan belakang ketika sesi latihan Ahad lalu dan gagal pulih sepenuhnya bagi aksi pembukaan di Wuhan menentang pemain ranking ke-31, Dominika sekalipun sempat berehat dua hari.

“Sukar pada awalnya untuk bermain... (tapi) saya tidak mahu menarik diri dan hanya berusaha bermain dengan lebih baik dan baik lagi,” kata Simona.

Di sebalik kecederaan itu dan memerlukan rawatan beberapa kali ketika perlawanan, dia bangkit melawan pada set kedua, mematahkan servis Dominika tiga kali sebelum akhirnya tumbang 5-7.

“Saya hampir melakukann­ya pada set kedua, jadi perlawanan ini memberikan saya keyakinan bahawa tahap saya masih bagus,” kata pilihan utama itu, yang menerima tepukan gemuruh setiap kali dia kembali selepas rawatan untuk menyambung permainan.

Simona, beraksi perlawanan pertama sejak kecundang awal pada Terbuka AS bulan lalu, menegaskan dia menjangka akan pulih daripada kecederaan belakang “dalam beberapa hari.” - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia