PPNS rayu bantu dana bantu 171,000 ahli
Kuching: Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) menuntut sokongan kerajaan negeri agar dapat terus berperanan membantu 171,000 ahlinya yang sebahagian besarnya tinggal di pedalaman dan luar bandar.
Pengerusinya, Datuk Sylvester Entri Muran berkata, seperti tahun sebelumnya, hasil pendapatan PPNS bergantung kepada pembekalan input pertanian, perkhidmatan pengangkutan dan projek pertanian yang perlu melalui proses tender terbuka yang kompetitif.
Berikutan itu, katanya, PPNS sukar mendapat perniagaan besar yang menjanjikan keuntungan tinggi, malah hasil diperoleh hanya dapat menampung perbelanjaan operasinya setiap tahun tanpa menerima peruntukan tahunan daripada kerajaan.
“Pada 2016, PPNS mendapat keuntungan RM1.6 juta dan mengagihkan dividen kepada 28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK). Namun pada tahun lalu, PPNS tidak mempunyai peluang memperoleh kontrak yang memberi keuntungan yang sangat baik.
“Malah, pendapatan dan keuntungan diperoleh juga menyusut begitu ketara, sekali gus menimbulkan pelbagai kekangan kepada PPNS untuk membantu ahli kita,” katanya ketika menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPNS Ke-33 di sini, kelmarin.
Ia dirasmikan Menteri Muda Pertanian negeri Dr Abdul Rahman Ismail yang mewakili Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Entri berkata, perubahan Dasar Perolehan Kerajaan juga memberi kesan kepada PPNS sehingga tidak boleh menyertai banyak tender dan sebut harga dalam pasaran terbuka disebabkan keperluan kategori lesen yang lebih rendah, selain kriteria lain.
Justeru, beliau berkata, PPNS mengambil inisiatif sendiri dengan mengorak langkah untuk mempertingkatkan lagi aktiviti perniagaannya tanpa bergantung lagi kepada sebut harga dan tender dalam pasaran bermula tahun ini.
Menurutnya, beberapa projek dirancang untuk mempelbagaikan perniagaan jangka masa panjang seperti menjalankan usaha sama dengan ahli peladang untuk projek burung walit di Sungai Asap dengan pembinaan dua tingkat rumah kayu burung berkenaan.
“Ini merupakan projek perintis. Kita bina rumah burung walet menggunakan kayu pada kos RM150,000 berbanding RM200,000 bagi rumah konkrit.
“Jika berjaya mencapai matlamatnya, kita akan mengembangkan pelaksanaannya dalam kalangan ahli yang berminat,” katanya.