Pilihan lauk nasi kukus
Nasi kukus antara menu yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia tanpa mengira usia dan bangsa. Makanan yang popular dari pantai timur itu lazimnya disaji bersama kuah gulai, sambal belacan, hirisan timun dan ayam goreng berempah.
Bagaimanapun, restoran Nasi Kukus Sotong Besar (NKSB) menawarkan variasi lauk untuk dinikmati bersama nasi kukus. Sotong goreng tepung bersaiz XL, kambing bakar diperap bersama sos kicap lada hitam, ayam bakar ala Hong Kong dan sup kambing 25 rempah antara lauk melengkapkan set nasi kukus.
Pemilik restoran, Othman Hussin, 36, berkata, kebanyakan lauk nasi kukus yang ditawarkan adalah menu biasa yang menjadi kegemaran semua orang, selain mudah diterima dan mendapat sambutan masyarakat.
“Bagaimanapun, saya mengolah resipi asal kepada resipi sendiri supaya rasanya ada kelainan daripada yang biasa. Misalnya, sos kicap lada hitam untuk kambing bakar diolah semula dengan menambah beberapa bahan, selain perlu dimasak selama enam jam bagi mendapatkan kuah manismanis pedas dan berempah.
“Resipi ayam bakar ala Hong Kong pula diperoleh daripada rakan yang pernah bekerja sebagai tukang masak di negara berkenaan, tetapi saya mengolah tahap kepedasannya supaya menepati cita rasa tempatan.
“Begitu juga sup kambing yang dimasak menggunakan 25 jenis rempah memberikan rasa, aroma dan keenakan yang tersendiri,” katanya yang mengusahakan NKSB sejak tiga tahun lalu bersama isteri, Norhafiza Abdul Rahim.
Sotong goreng
tepung XL, kambing bakar, ayam bakar ala Hong Kong, sup kambing
25 rempah pelengkap set
nasi kukus
Othman sebelum ini menjual pakaian tetapi kini mengusahakan restoran kerana minatnya yang mendalam terhadap masakan. Malah, beliau belajar sendiri memasak dan gemar mengolah sesuatu masakan itu dengan memberi nafas baharu.
“Setiap hari saya menyediakan kira-kira
500 sotong besar dan 250 kilogram daging kambing untuk dua cawangan NKSB di Shah Alam dan Klang.
“Selain nasi kukus, NKSB turut menawarkan lebih 20 menu lain seperti nasi kerabu, nasi lemak, nasi ayam, nasi air, mi celup dan char kuetiau. Kami juga menawarkan lebih 20 jenis minuman dan paling mendapat permintaan adalah teh ais istimewa, jus jagung dan air kelapa,” katanya.
Berkunjung ke NKSB pasti membuatkan pelanggan tidak dapat melupakan kelazatan aneka menu daripada resipi yang diubah suai. Wajib dikunjungi kerana harga makanan berpatutan bermula serendah RM6.50 hingga RM16.50 sangat berbaloi jika datang bersama keluarga dan mereka yang ingin mencuba nasi kukus.