‘Hukuman sebat ibu tunggal rasional’
Kuala Terengganu: Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, supaya pelaksanaan hukuman sebat terhadap seorang ibu tunggal yang mengaku bersalah atas pertuduhan cuba melacurkan diri dibuat sesuai dengan perintah hakim yang turut memenjarakan wanita itu.
Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Wan Abdul Malik Wan Sidek berkata, hukuman sebatan boleh dilaksanakan di mana-mana atas perintah hakim yang mengendalikan kes itu.
Menurutnya, bagi kes ibu tunggal itu, hakim mengambil pendekatan hukuman sebat sesuai dilaksanakan di penjara kerana wanita itu turut dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan.
“Berdasarkan hukuman diterima wanita itu, keputusan Hakim Tinggi Syarie Rosdi Harun memerintahkan sebatan dilaksanakan di penjara adalah rasional.
“Keputusan itu juga dimuktamadkan bagi mengelakkan kerja dua kali kerana wanita itu juga dipenjarakan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Khamis lalu, seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pencanting batik sambilan dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan enam sebatan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman sebatan itu dilaksanakan di penjara tempat tertuduh ditahan iaitu di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.
Beliau juga memerintahkan hukuman itu dilaksanakan selepas tempoh 14 hari sekiranya tiada rayuan dikemukakan tertuduh.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada seorang anak perempuan berusia tujuh tahun itu dituduh mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.