ANNA SAHUT CABARAN JADI USAHAWAN
Menjual produk rawatan dan kecantikan pada masa ini bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi berdepan persaingan daripada peniaga lebih berpengalaman serta syarikat gergasi.
Harga ditawarkan pula berpatutan selain dipasarkan secara teratur dan menggunakan strategi tersendiri untuk menarik minat pelanggan khususnya wanita.
Namun, cabaran sebegitulah yang menguatkan lagi semangat Ikon Metro minggu ini, Juliana Abdullah, untuk berjaya sebagai usahawan dan pengedar barangan kosmetik di negeri di bawah bayu.
Juliana berkata, sebagai penjual dan ejen produk kecantikan, jadual hariannya amat padat tetapi dek semangat mahu bergelar usahawan berjaya, dia tidak mudah berputus asa.
Gadis berasal dari Semporna ini berkata, dia juga menimpa ilmu mengenai asas produk kecantikan dan perniagaan.
“Sekarang saya bekerja sebagai pembantu di sebuah butik tetapi masa terluang pada sebelah malam dan cuti umum saya manfaatkan sepenuhnya untuk mengembangkan lagi perniagaan.
“Berkat kesabaran, sambutan daripada pelanggan sangat baik, sekali gus menjadi motivasi bagi saya untuk terus berjaya meskipun jadual harian amat padat,” katanya.
Antara produk yang dipasarkan Juliana adalah bahan rawatan dan kecantikan khusus untuk pengguna mengalami masalah muka.
Gadis yang lebih mesra dipanggil Anna ini berkata, dia melakukan kerja sampingan itu kerana mahu membantu keluarga.
“Ibu dan bapa saya bekerja sendiri, maka bantuan kewangan yang saya hulurkan sedikit sebanyak meringankan beban mereka yang perlu menyara adik-beradik yang ramai,” katanya.
Berkongsi pengalaman kerjayanya, Juliana yang juga anak kedua berkata, kepuasan hati pelanggan menjadi keutamaannya.
Berikutan itu Juliana akan sentiasa berhubung dengan pelanggan bagi mendapatkan maklum balas daripada mereka.
“Pada zaman teknologi sekarang, tak sukar mahu memasarkan produk kerana kita boleh berniaga secara dalam talian.
“Banyak platform media sosial boleh diguna termasuk WhatsApp tetapi kalau mahu pulangan lumayan, kita kena rajin berusaha,” katanya.
Katanya, dia menggunakan perkhidmat kurier untuk menghantar pesanan pelanggan jika lokasi mereka jauh.
Dia juga memasang impian untuk membuka pusat rawatan kecantikan dan kesihatan selepas misinya untuk memiliki produk sendiri berjaya direalisasikan.