Balasan setimpal
Lelaki dibelasah pelanggan restoran selepas perkosa kanak-kanak makan bersama ibu
Seorang lelaki dibelasah pelanggan restoran selepas menculik dan merogol seorang budak perempuan berusia enam tahun di tandas premis berkenaan.
Video yang tersebar di Internet menunjukkan suspek berusia 20 tahun itu bogel dan berlumuran darah di dada serta lengannya, lapor The Mirror.
Orang ramai menjerit dan memaki suspek yang menutup kemaluannya dengan pakaiannya, namun lelaki itu turut menghamun mereka, manakala seorang wanita didengar menangis.
Saksi mendakwa, pada mulanya dia melihat kanak-kanak itu di taman permainan berhampiran sebelum mengikut mangsa dan keluarganya ke restoran berkenaan.
Apabila mangsa pergi ke tandas, dia mengheret kanak-kanak itu dari tandas perempuan ke tandas lelaki sebelum mengunci pintu dan merogolnya.
Saksi memberitahu The Citizen, ibu mangsa mencetuskan kekecohan selepas menyedari kehilangannya menyebabkan suspek akhirnya terpaksa membuka pintu.
“Kami menemuinya dan kanak-kanak itu telanjang bulat. Darah dapat dilihat pada kemaluan budak itu.
“Apabila pelanggan lelaki melihat kecederaan kanak-kanak itu mereka terus menyerang suspek,” katanya.
Disebabkan orang ramai terlalu marah, pemilik restoran terpaksa mengurung suspek sementara menunggu polis.
Kejadian itu mencetuskan kemarahan di Afrika Selatan, dengan aktivis mengancam menutup restoran terbabit jika pengurusannya tidak menunaikan janji melunaskan kos perubatan kanak-kanak itu.