Idam bina madrasah di Temerloh
Ia akan dibina diatas tanah milik ayah saya
Amerul Affendi
Kuala Lumpur: Pelakon Amerul Affendi memasang impian untuk membina sebuah madrasah di kampung halamannya di Temerloh, Pahang.
Amerul yang menyerlah dengan filem Bunohan, Polis Evo, Terbaik Dari Langit dan One Two Jaga berkata, selain akan digunakan untuk aktiviti agama, dia juga berhasrat menghidupkan aktiviti kesenian di sana.
“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik. Cuma saya masih lagi mengumpul dana yang cukup untuk melengkapkan pembinaan madrasah ini.
“Saya percaya apabila sebut madrasah, orang akan terfikir mengenai aktiviti keagamaan yang akan dijalankan di situ. Bagaimanapun saya cuba keluar dari kepompong dengan melakukan sebaliknya dan bercadang memeriahkannya dengan aktiviti kesenian seperti teater, muzik dan sebagainya yang sesuai dari sudut Islam,” katanya.
Bagaimanapun, Amerul enggan menjelaskan kos sebenar yang diperlukan untuk pembinaan madrasah berkenaan tetapi berkata, kosnya agak besar.
“Boleh dikatakan mencecah ratusan ribu juga. Ia akan dibina diatas tanah milik ayah saya. Setakat ini saya belum memohon sebarang bantuan daripada kerajaan negeri. Kalau boleh saya dan kawan-kawan mahu berdikari membinanya kerana mahu membentuk semangat setia kawan antara kami.
“Kalau boleh kami tak mahu membabitkan pihak luar kerana takut nanti timbul pelbagai masalah,” katanya.
Amerul atau nama sebenarnya Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi berkata, rezekinya dalam bidang lakonan juga semakin bertambah berbanding dulu.
“Pada awal kemunculan dulu memang saya kurang dapat tawaran berlakon kerana nama saya tak diterima oleh stesen TV tertentu.
“Alhamdulillah situasinya berbeza apabila mereka lihat lakonan saya dalam beberapa drama dan filem yang dibintangi dan buka mata serta terbuka hati ambil berlakon,” katanya.