2 kali dalam 24 jam
Polis rampas 181 botol minuman berisi dadah
Walaupun beroperasi tanpa lesen dan sudah lima kali diserbu pihak berkuasa tahun ini, sebuah pusat hiburan terkemuka di Jalan Sungai Besi, di sini, masih ‘degil’ menjalankan aktiviti penyalahgunaan dadah dalam premis berkenaan demi mengaut keuntungan.
Terbaru, premis empat tingkat itu diserbu dua kali dalam tempoh 24 jam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dan agensi penguatkuasa diketuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada awal pagi Jumaat dan Sabtu lalu.
Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, dalam serbuan pada jam 2.30 pagi Jumaat lalu, pihaknya menahan 31 lelaki dan tiga wanita tempatan berusia antara 16 hingga 54 tahun termasuk dua lelaki dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah.
“Dalam operasi itu, polis turut merampas 181 botol air minuman dan 408 paket cecair serta serbuk minuman disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine dan ketamin serta 60 batang rokok mengandungi ganja ‘mushroom’ yang semuanya dianggarkan bernilai RM230,000.
“Semua dadah yang dirampas itu jika berada di pasaran ia mampu merosakkan lebih 2,500 individu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, semalam.
Beliau berkata, seramai 32 individu yang ditahan didapati positif dadah dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta direman selama dua hari manakala dua ahli sindiket pengedaran dadah ditahan mengikut Seksyen 39A(2) akta sama dan direman selama tujuh hari.
“Dalam operasi turut disertai Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) dan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Daerah Dang Wangi itu, polis turut menahan tujuh lelaki warga Bangladesh dan tiga wanita warga Indonesia selepas dikesan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Semua rampasan dadah pula diperoleh hasil pemeriksaan ke atas satu bilik stor khas dan sebuah kenderaan di kawasan tempat letak kereta yang kita percaya dijadikan sebagai tempat penyimpanan dan pengedaran botol serta paket cecair minuman mengandungi dadah,” katanya.
Katanya, secara keseluruhan premis sama sudah lima kali digempur sepanjang tahun ini iaitu pada 25 Januari, 26 Mei, 14 September, 28 September dan 29 September lalu.
Dalam Op Bah pada Sabtu lalu, seramai 16 pengunjung pusat hiburan sama ditahan oleh agensi kerajaan terbabit selepas didapati positif dadah.
Hasil pemeriksaan mendapati status pusat hiburan berkenaan didapati tidak berlesen dan tindakan menyita barang-barang hiburan dijalankan.
Premis sama diarahkan ditutup mengikut Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 1992.
Jika pusat hiburan sama masih meneruskan kegiatan, ia adalah berstatus menjalankan operasi secara salah dan haram.