BUDAK MESIN BASUH
Bapa budak disumbat dalam mesin basuh bersyukur anak selamat
“Mujur mesin basuh itu tidak berfungsi (tidak berputar), syukur anak saya selamat. Saya memang terkejut dengan berita itu, tapi Alhamdulillah, tiada apa-apa berlaku kepada anak saya,” kata lelaki hanya mahu dikenali sebagai Rizal, 20-an.
Semalam, satu rakaman video berdurasi 46 saat tular menunjukkan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun terperangkap hampir 10 minit apabila ‘disumbat’ ke dalam mesin basuh di sebuah dobi layan diri di Bukit Sentosa, di sini,
Kejadian jam 12.30 tengah malam kelmarin itu dipercayai berpunca daripada ‘gurauan terlampau’ bapa saudara kanak-kanak berkenaan yang berusia 20-an.
Difahamkan, kejadian itu berlaku tanpa disedari ibu kanak-kanak terbabit yang turut berada di lokasi untuk membasuh pakaian di premis berkenaan.
Gurauan lelaki berkenaan bagaimanapun mengundang padah apabila pintu mesin basuh itu tidak dapat dibuka menyebabkan kanak-kanak terbabit terperangkap di dalamnya.
Rakaman video itu juga menunjukkan beberapa individu cuba menyelamatkan mangsa.
Kanak-kanak terbabit hanya dapat diselamatkan selepas beberapa individu yang berada di lokasi kejadian memecahkan cermin pintu mesin basuh itu selepas usaha membukanya tidak berhasil.
Rizal berkata, ketika itu dia tidak berada di lokasi berkenaan dan hanya dimaklumkan oleh isterinya berhubung kejadian.
Katanya, dia enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan menganggap ia sudah selesai.
“Apa yang penting anak saya selamat.
“Saya juga sudah menghubungi pengurusan kedai dobi untuk membayar ganti rugi kerosakan mesin basuh berkenaan dan pemiliknya bersetuju menyelesaikannya dengan baik,” katanya.
Pemilik kedai dobi itu Hazmal Hassan berkata, tujuan dia berkongsi rakaman video berkenaan hanya untuk memberi kesedaran kepada orang ramai supaya beringat apabila melakukan sesuatu tindakan.
Katanya, dia menerima panggilan daripada bapa kanak-kanak terbabit untuk menyelesaikan masalah dan ganti rugi akibat kejadian yang berlaku.
“Berdasarkan maklumat, kanak-kanak terbabit datang ke kedai dobi bersama ibu dan bapa saudaranya.
“Saya difahamkan, kanak-kanak terbabit bergurau dengan bapa saudaranya. Secara tiba-tiba, lelaki itu memasukkannya ke dalam mesin basuh sebelum pintu terkunci dan tidak dapat dibuka,” katanya.
Hazmal berkata, beberapa pekerja restoran bersebelahan premisnya cuba membantu membuka pintu mesin basuh namun tidak berjaya.
Katanya, mereka memecahkan cermin pintu mesin basuh itu untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit.
“Pintu itu lazimnya akan terkunci secara automatik apabila dimasukkan syiling dan apabila butang ‘mula’ ditekan.
“Saya tidak tahu bagaimana ia berlaku, namun masalah ini bukan saja menyebabkan saya kerugian kira-kira RM3,000 sebaliknya nyawa seorang kanak-kanak hampir melayang,” katanya.
Katanya, kanak-kanak terbabit bernasib baik berikutan mesin itu tidak berputar mungkin disebabkan terlebih muatan.
Menurutnya, susulan kejadian itu, dia membuat laporan polis supaya tindakan dan siasatan dapat dijalankan berikutan ia boleh mengancam nyawa kanak-kanak terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bak Phai, ketika dihubungi, di sini, semalam, memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Katanya, menerusi laporan dibuat ibu mangsa berusia 25 tahun, kanak-kanak terbabit pada awalnya hilang secara tiba-tiba dan ditemui berada dalam sebuah mesin basuh yang terkunci.
“Berdasarkan laporan dibuat wanita itu, kanak-kanak terbabit dikatakan masuk sendiri ke dalam satu daripada mesin basuh di situ,” katanya.