Tiga sebab beri kesan kemusnahan besar
Palu: Keadaan struktur tanah poros dan teluk yang panjang serta sempit antara faktor yang menyebabkan bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Palu, Jumaat lalu memberi kesan kemusnahan yang besar.
Struktur tanah poros kerana mengandungi banyak pasir menyebabkan ia mudah menjadi lumpur apabila bercampur dengan air sekali gus menyebabkan strukturnya lemah.
Gegaran yang kuat seperti gempa 7.5 magnitud yang melanda Palu turut menyebabkan butiran tanah menjadi padat dan meningkatkan tekanan air bawah tanah sekali gus menjadi tidak stabil dan boleh tenggelam secara tidak sekata.
Keadaan itu menyebabkan tanah hilang keupayaan menyokong struktur dibina di atas atau di dalamnya mengakibatkan ribuan rumah rumah, bangunan dan jambatan runtuh.
Tanah yang tidak stabil, berair boleh mengalir seperti lumpur. Malah, tanah cerun yang tidak begitu curam boleh runtuh dan menggelongsor.
Beberapa video yang disebarkan menunjukkan bangunan termasuk rumah yang bergerak akibat tanah menjadi cair dan mengalir seperti banjir lumpur.
Sementara itu, saintis memberitahu, keadaan teluk yang panjang dan sempit menyebabkan tsunami yang melanda Palu amat besar berbanding gempa yang mencetuskannya. “Ombak yang melanda sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter tinggi serta kemungkinan dua kali ganda besarnya,” kata seorang felo penyelidik di Fakulti Sains dan Kejuruteraan Universiti Curtin, di Bentley, Barat Australia, Jane Cunneen.
Cunneen yang mencipta sistem amaran tsunami di Lautan Hindi berkata, berdasarkan kekuatan gempa berkenaan, ombak tsunami tidak sepatutnya sebegitu besar.
Pakar memberitahu AFP, sekurang-kurangnya tiga faktor yang menyebabkan situasi itu dan yang pertama adalah teluk yang membentuk terusan panjang di penghujung bandar Palu yang terletak di kawasan tanah rendah.
“Bentuk teluk berkenaan sudah pasti memainkan peranan utama dalam menaikkan saiz gelombang. Teluk berkenaan bertindak sebagai corong di mana ombak tsunami melaluinya,” kata pakar gempa di Institut Sains Bumi Grenoble, Anne Socquet, yang mengkaji garis gelinciran seismik rantau itu.
Faktor kedua ialah saiz dan lokasi gempa. Gempa kuat magnitud 7.5 tidak banyak direkodkan setiap tahun di kawasan itu.
Faktor akhir, bukti keadaan menunjukkan tsunami diperbesarkan dengan keadaan bawah air yang bersamaan satu kejadian tanah runtuh.
“Gempa bumi mungkin mencetuskan satu tanah runtuh dasar laut berhampiran mulut teluk, atau malah dalam kawasan teluk itu sendiri,” kata Cunneen. - AFP