Boleh hilang pelaburan
Malaysia berpotensi kehilangan pelaburan dan pekerjaan dalam kalangan rakyat tempatan jika operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas Malaysia) dihentikan.
Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Urusan Lynas Corporation Ltd, Amanda Lacaze berkata, sejak memulakan operasi di Malaysia pada 2012, keseluruhan pelaburan modal yang diperuntukkan bagi operasi di Lynas Malaysia hampir RM3 bilion.
“Kami juga menyediakan peruntukan pelaburan kira-kira RM500 juta setahun bagi operasi tempatan,” katanya pada sidang media Lynas Malaysia di sini, semalam.
Beliau berkata, syarikat memang menyediakan peruntukan untuk terus mengukuhkan operasi di Malaysia dan mengharapkan ia dapat berjalan dengan baik.
“Pada tahun ini kami memperuntukkan RM66 juta bagi melaksanakan projek seterusnya serta membolehkan syarikat meningkatkan pengeluaran.
“Kami juga berbincang dengan beberapa pihak tertentu mengenai operasi hiliran kami dan saya turut mempromosikan Malaysia sebagai negara berpotensi dan hebat untuk aktiviti hiliran ketika menghadiri persidangan pelaburan di Hong Kong, kira-kira tiga minggu lalu.
“Kami juga sebelum ini mengadakan beberapa siri perbincangan mengenai projek hiliran, tetapi kini terpaksa ditangguhkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Amanda berkata, pihaknya memberi jaminan akan memberikan keutamaan kepada pekerja, kakitangan, kontraktor dan pembekalnya meskipun berdepan isu semakan semula operasi syarikat itu di negara ini.
“Setakat ini, 97 peratus daripada 650 tenaga kerja di Lynas Malaysia terdiri daripada rakyat tempatan.
“Kami tidak mempunyai tenaga kerja dalam kalangan ekspatriat atau pekerja kontrak dari Asia.
“Malah, 70 peratus daripada pengurusan syarikat di sini juga rakyat Malaysia. Selain itu, kami juga memiliki sejumlah pembekal tempatan yang terdiri daripada pembekal utama syarikat,” katanya yang turut menambah syarikat berkeupayaan untuk mengambil sebarang usaha bagi memindahkan operasi syarikat, tetapi ia memerlukan masa, usaha dan kewangan.
Katanya, Lynas Malaysia juga tidak terfikir untuk menghentikan bisnesnya di Malaysia kerana syarikat itu beroperasi mengikut perundangan dan mempunyai lesen yang sah.
Lynas Malaysia kini berdepan dengan isu penilaian semula operasi berikutan syarikat berkenaan menghasilkan bahan nadir bumi berkualiti tinggi di Kuantan, di bawah syarat pelesenan ketat sejak September 2014.
Bagaimanapun, mengikut Dewan Perniagaan Malaysia Australia (MABC) kredibiliti menyemak semula operasi Lynas Malaysia termasuk komposisi pasukan penilai dan terma rujukan adalah kritikal untuk memastikan ia tidak menjejaskan reputasi Malaysia sebagai destinasi
Lynas Malaysia tegas langkah kerajaan semak semula operasi bakal jejas pekerjaan rakyat tempatan
pelaburan terbuka dan stabil.
Mengulas mengenai semakan semula operasi Lynas Malaysia, Amanda berkata, pihaknya memohon ia dilaksanakan secara objektif, telus dan saintifik serta adil terhadap syarikat itu.
Katanya, Lynas Malaysia sedia bekerjasama dengan kerajaan berhubung semakan semula ini, namun berharap mereka dilayan secara adil seperti syarikat lain di negara ini.
Sehingga hari ini, katanya, Lynas Malaysia belum dimaklumkan mengenai keanggotaan jawatankuasa dan skop semakan semula atau terma rujukan bagi jawatankuasa berkenaan.
“Kami menjalankan operasi loji yang selamat kepada pekerja dan alam sekitar, menggajikan ramai kakitangan tempatan serta melatih dan membayar mereka dengan baik, selain menerima sokongan daripada komuniti.
“Kami bukan isu dalam pilihan raya, dan kami bukan manifesto kerajaan. Saya tak tahu apakah motivasi kumpulan yang menentang kami,” katanya.
Amanda turut menegaskan aspek keselamatan amat dititikberatkan pihaknya dan semakan dalam lingkungan 20 kilometer dari loji Lynas sejak enam tahun lalu mendapati tiada perubahan kadar radiasi.