Mungkin tertekan
Pekerja warga asing ditemui mati tergantung di kuarters
Selepas baru sebulan bekerja, seorang warga Indonesia ditemui mati dengan keadaan tergantung di kuarters pekerja sebuah kilang sagu di Hulu Medong, Dalat di sini, pagi kelmarin.
Difahamkan, pekerja terbabit berkelakuan pelik sejak beberapa hari lalu, termasuk bersikap pendiam dan memencilkan dirinya sebelum ditemui mati kira-kira jam 9.35 pagi.
Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Roslan Leman berkata, hasil siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
“Berdasarkan keterangan majikan dan beberapa rakan sekerjanya, mangsa yang berusia 25 tahun dan berasal dari Kalimantan Barat, Indonesia mengalami kemurungan sejak tiga hari lalu.
“Kemungkinan pekerja terbabit tertekan kerana berjauhan daripada keluarganya. Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Dalat dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus dimaklumkan mengenai penemuan mayat pekerja berkenaan.
“Mayat pekerja terbabit ditemui rakan sekerjanya yang bergegas memeriksa bilik penginapannya apabila tidak datang bekerja sebelum pemuda itu ditemui tergantung,” katanya.
Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Mukah untuk proses bedah siasat.