Belenggu trauma
“Ada mangsa yang singgah ke masjid ini hanya tinggal sehelai sepinggang.
“Jadi, kami kariah masjid memutuskan untuk menyediakan pakaian dewasa, kanak-kanak dan bayi untuk diberikan kepada mereka,” kata Hasanuddin Yusof, 57.
Panitia Pembangunan Masjid Nurul Huda Tasiu, Kecamatan Kalukku di sini, itu berkata, masjid terbabit menjadi tempat persinggahan mangsa gempa bumi dan tsunami Palu yang akan ke Makassar atau tempat lain untuk mencari tempat selamat berikutan kemusnahan Palu akibat bencana berkenaan.
Menurutnya, setiap hari masjid itu turut menyediakan jamuan ringan bukan saja kepada mangsa malah kepada sesiapa saja yang singgah termasuk sukarelawan misi bantuan ke Palu.
Beliau ditemui wartawan yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Palu anjuran Muslim Malaysia Society (Muslim Care) berkata, niat penduduk setempat hanya satu iaitu membantu sesama manusia yang sedang mengalami kesempitan.
“Apabila kita memudahkan urusan manusia sedang sulit, insya-Allah urusan kita juga dipermudahkan Tuhan.
“Kami turut sama merasai kesedihan atas penderitaan dialami penduduk Palu, Donggala dan Sigi akibat dilanda badai bencana alam yang dahsyat,” katanya.
Dalam persinggahan misi ke masjid itu untuk tunaikan solat Maghrib, kelmarin, Muslim Care turut memberikan sumbangan wang tunai yang disampaikan Timbalan Presidennya Johari Ismail kepada Imam Masjid Nurul Huda Tasiu, Muhammad Adha Ajing, 32.
Orang ramai yang mahu membantu mangsa bencana ini boleh hulurkan sumbangan ke akaun Muslim Care Malaysia di Maybank 564490413882, Bank Islam 14014010147470 atau Bank Muamalat 14010007654717.
Slip sumbangan boleh di SMS atau WhatsApp kepada Ustaz Rashdan 017-3333881, Ustaz Safuan 013-4886447, Haji Johari 016-9978323 atau Haji Zulkifli 019-2518771.
Sementara itu, tinjauan wartawan di hentian khemah kemanusiaan di tepi jalan dari arah Palu ke Ma- kassar dan menuju Palu di Mamuju Tengah mendapati ramai mangsa bencana singgah di situ.
Mangsa, Rustam Hamzah, 39, dari daerah Balaroa, Palu Barat berkata, kejadian bencana gempa bumi 7.5 magnitud itu sebenarnya turut mencetuskan kebakaran yang memusnahkan hampir 80 hektar kawasan di daerah itu.
“Daerah tempat tinggal kami tidak dilanda tsunami sebab agak jauh dari pantai.
“Kebanyakan mangsa yang terkorban adalah disebabkan kebakaran apabila penduduk yang sedang sibuk memasak meninggalkan rumah akibat gempa bumi.
“Saya sempat lari ke arah bukit sejurus gegaran pertama
Masjid Nurul Huda Tasiu teduhan mangsa bencana
berlaku. Lebih 60 peratus kediaman musnah apabila tanah menjulang naik dan menimbus apa saja yang ada.
“Memburukkan keadaan banyak rumah terbakar,” katanya.
Dia yang kehilangan beberapa anggota keluarga berkata, tujuannya ketika ini untuk ke Makassar dan tinggal di sana selama dua minggu hingga sebulan.
Katanya, dia mahu menunggu kawasan yang musnah dibersihkan termasuk menjalani proses steril untuk memastikan tiada wabak penyakit tersebar.
Peserta misi Dr Naveenkumar Thanggaya, 31, yang turut menemubual Rustam berkata, berdasarkan perbualan itu, dia berpendapat mangsa gempa bumi dan tsunami amat memerlukan sokongan psikologi.
“Ini terutama golongan kanak-kanak yang trauma. Walaupun selamat tetapi mereka masih ketakutan untuk tinggal di premis kekal termasuk di bangunan perlindungan yang disediakan atau pulang ke kediaman masing-masing,” katanya.