Pakej jalur lebar 56% lebih rendah
Pengguna akan menikmati harga jalur lebar talian tetap lebih rendah kini iaitu pengurangan hingga 56 peratus apabila empat syarikat telekomunikasi mengumumkan pakej jalur lebar talian tetap yang baru semalam.
Menerusi kenyataan dikeluarkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, pengumuman keempat-empat syarikat telekomunikasi iaitu Telekom Malaysia (TM), Maxis, TIME dotcom
(TIME) dan Celcom adalah ekoran saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo supaya menawarkan jalur lebar talian tetap pada harga yang lebih berpatutuan kepada rakyat lanjutan daripada pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP).
“Semua syarikat telekomunikasi kini menawarkan pakej permulaan di bawah RM100 beserta pakej yang menawarkan kelajuan yang lebih tinggi pada harga lebih rendah,” katanya.
Jelas SKMM, pakej permulaan TM bagi 30 Megabits sesaat (Mbps) sebelum MSAP pada kadar RM139 kini berharga
RM79, sementara pakej permulaan Celcom 40 Mbps selepas MSAP berkurangan kepada RM80 daripada RM180, pakej permulaan Maxis 30 Mbps sebelum MSAP pada kadar RM139 kini menjadi RM89 dan pakej permulaan TIME 100 Mbps pada harga RM149 sebelum MSAP kini RM99.
Katanya, pakej TIME pada kelajuan 500 Mbps kini berharga RM139 sementara pakej TIME dengan kelajuan 1 gigabit sesaat (Gbps) kini berharga RM199. - BERNAMA