Istimewa buatmu
Tun Juhar buat persembahan khas untuk pengunjung meriahkan sambutan Hari Jadi Rasmi ke-65 beliau
Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin membuat persembahan khas dengan bermain gitar dan menyanyi sebagai tanda penghargaan kepada orang ramai yang hadir memeriahkan acara berbasikal sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-65 beliau, di Taman Awam Teluk Likas, di sini, semalam.
Juhar yang menggunakan gitar elektrik jenama Fender memainkan lagu Senandung Malam dan Cha Cha sebelum menyanyikan sendiri lagu yang pernah dipopularkan penyanyi Elvis
Presley bertajuk
Lebih meriah apabila orang ramai yang hadir pada majlis itu turut menari ketika Juhar membuat persembahan.
Timbalan Ketua Menteri yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur, Datuk Jaujan Sambakong berkata, persembahan Juhar bukan sebahagian daripada pengisian program berkenaan.
“Seperti yang dikatakannya di atas pentas, ia adalah penghargaan ikhlas daripada beliau kepada orang ramai.
“Acara ini meriah dengan kehadiran lebih 3,000 orang,” katanya dalam sidang media selepas majlis sambutan berkenaan, semalam.
Jaujan yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri berkata, acara itu turut menerima penyertaan rakyat Brunei yang datang ke negeri ini.
Acara yang diadakan seawal jam 7 pagi itu disertai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib, menteri Kabinet negeri serta Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai.
Ribuan orang yang hadir berpeluang berbasikal bersama Juhar, Mohd Shafie dan pemimpin negeri lain di sepanjang pantai taman awam berkenaan.
Pada acara itu, Juhar turut melepaskan 65 burung merpati di kawasan pantai.