WARIS MARAH SAR DIHENTI
Penduduk Muslim Balaroa tak puas hati keputusan henti gerakan mencari-menyelamat
Anggota keluarga kepada ratusan orang yang masih hilang dalam gempa bumi dan tsunami di Palu hampir dua minggu lalu, menyuarakan rasa marah, sedih dan pasrah terhadap keputusan agensi bencana Indonesia untuk menamatkan usaha mencari mayat pada Khamis ini.
“Kami marah kerana keluarga dan rakan kami masih belum ditemui, namun mereka sekadar mahu berhenti mencari?
“Kami Muslim. Kami memerlukan pengebumian yang sempurna,” kata Hajah Ikaya, 60, yang kehilangan adik perempuan, adik ipar serta anak saudaranya masih hilang di Balaroa.
Balaroa antara kawasan yang paling teruk terkesan akibat pencairan tanah yang menenggelamkan orang serta bangunan dalam lumpur serta puing.
Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho berkata, usaha berskala besar menggunakan jentera berat dan pasukan mencari akan dihentikan pada 11 Oktober ini.
Sebaliknya, puing akan dialihkan manakala kawasan yang ditenggelami lumpur akan dijadikan taman serta lokasi riadah. Mereka yang tinggal di kawasan dianggap masih berbahaya juga akan dipindahkan.
Sementara itu, seorang ayah, Onde, 38, pasrah dengan keputusan itu walaupun mayat anak perempuannya berusia dua tahun masih belum ditemui.
“Tak guna mereka mencari lagi, pada peringkat ini mayat sudah tidak dapat dikenal pasti pun,” katanya.
Menurutnya, isteri dan dua anak perempuannya dihanyutkan tsunami. Setakat ini, cuma mayat isteri dan anak sulungnya sudah ditemui.