GRO restoran ladang sawit
Imigresen tahan 11 wanita Vietnam, 2 lelaki tempatan
Taktik pemilik premis berselindung di sebalik perniagaan restoran yang menyediakan khidmat pelayan pelanggan (GRO) di ladang kelapa sawit di Kampung Cina, Sitiawan, daerah Manjung, terbongkar apabila premis itu diserbu pihak Jabatan Imigresen Perak dalam Ops Mega, semalam.
Dalam serbuan bermula jam 12.30 tengah malam dan berakhir dua jam kemudian itu, seramai 11 wanita warga Vietnam dan dua lelaki rakyat tempatan dipercayai penjaga premis berusia antara 15 hingga 42 tahun di premis itu ditahan.
Pengarah Imigresen negeri, Kamaluddin Ismail berkata, jarak antara jalan utama dengan lokasi premis terbabit sejauh dua kilometer.
Katanya, pihaknya turut diekori beberapa ‘tonto’ yang dipercayai memberikan maklumat kepada penjaga premis berkenaan ketika serbuan dijalankan.
Menurutnya, kehadiran ‘tonto’ itu bagaimanapun tidak menimbulkan sebarang kejadian tidak diingini dan anggota imigresen menahan semua wanita Vietnam yang dipercayai sedang menghiburkan pelanggan masing-masing.
“Dalam serbuan itu, terdapat 15 bilik yang dijadikan bilik untuk berhibur dan kita syak premis berkenaan turut menjalankan aktiviti tidak bermoral termasuk kegiatan pelacuran berdasarkan beberapa kondom ditemui di lokasi serbuan.
“Beberapa wanita warga asing terbabit turut mengalami kecederaan selepas terjatuh akibat cuba melarikan diri daripada anggota imigresen,” katanya pada sidang media, semalam.
Kamaluddin berkata, dalam tempoh yang sama, pihaknya turut menjalankan tiga lagi serbuan berasingan di sebuah pusat karaoke serta dua pusat rawatan urut di Sitiawan dan Manjung.
Beliau berkata, dalam serbuan di pusat karaoke di Taman Desa Bintang, Sitiawan, pihaknya menahan 11 wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga tempatan.
“Sementara, serbuan di pusat mengurut di Sitiawan pula, seramai tiga wanita warga Vietnam ditahan serta dua wanita tempatan yang dipercayai bekerja sebagai penjaga premis ditahan manakala tiga wanita warga Vietnam ditahan di pusat mengurut di Manjung.
“Antara kesalahan yang dikesan dalam keempat-empat serbuan berkenaan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, pas lawatan tamat tempoh dan melindungi pekerja asing tidak memiliki pas yang sah,” katanya.
Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Langkap untuk siasatan lanjut.
“Keempat-empat kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.