Lori balak bermaharajalela atas jalan
Bintulu: Polis Sarawak memberi amaran tindakan tegas bakal dikenakan terhadap mana-mana pemandu lori balak yang membawa muatan berlebihan dan tidak mengikut peraturan sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, tiada kompromi dengan mana-mana pemandu lori balak yang masih berdegil dan membelakangkan undangundang sehingga boleh mengancam keselamatan orang ramai.
“Hasil pemantauan kita mendapati banyak lori balak di Bintulu dan kawasan sekitarnya membawa muatan secara berlebihan, muatan tidak diikat kemas dan dipandu secara melulu serta berbahaya hingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya lain.
“Didapati tiga kawasan panas masing-masing
Jalan Bintulu-Sibu, Jalan Bintulu-Bakun dan Jalan Bintulu-Miri yang seolaholah memperlihatkan lori balak ini bermaharajalela,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.
Dalam kejadian terbaru katanya, sebuah lori yang sarat dengan muatan balak dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dikesan menggunakan laluan Jalan Bintulu-Sibu berhampiran Jambatan Kemena, di sini, Khamis lalu, dengan kayu dibawanya terjuntai sehingga mencecah permukaan jalan.
“Malah, kayu balak itu nyaris dirempuh kenderaan lain. Gambar lori berkenaan yang dirakamkan pengguna jalan raya turut tular di laman sosial.
“Daripada gambar berkenaan, jelas sekali pemandu lori itu tidak mengambil kira aspek keselamatan kerana bukan saja membawa muatan berlebihan, bahkan tidak diletakkan sebarang tanda keselamatan yang boleh menyebabkan kemalangan,” katanya.