Hanya tentera berkaliber diperlukan
Kota Samarahan: Warga Tentera Darat Malaysia (TDM) yang gagal mematuhi peraturan tentera perlu menamatkan perkhidmatan sebelum mereka diberhentikan.
Itu amaran keras Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi kepada pegawai dan anggota yang tidak lagi menunjukkan minat terhadap perkhidmatan.
Ahmad Hasbullah berkata, beliau tidak berkompromi dalam soal disiplin dan tidak akan membiarkan pegawai dan anggota yang bermasalah itu merosakkan pasukan.
“Selagi anda boleh mengikuti peraturan yang ditetapkan, anda layak untuk terus berada dalam tentera, tetapi jika anda tidak mampu, saya tidak ragu-ragu untuk memberhentikan anda daripada perkhidmatan.
“Orang seperti ini bukanlah aset kepada perkhidmatan, sebaliknya mereka adalah liabiliti yang boleh menjejaskan keupayaan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena lawatan ke Markas Pemerintahan Medan Timur TDM di Kem Muara Tuang di sini, semalam.
Turut hadir, Panglima Medan Timur TDM Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw, Panglima 1 Divisyen Infantri Mejar Jeneral Datuk Toh Choon Siang dan Panglima 3 Briged Infantri Brigedier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin.
Ahmad Hasbullah berkata, beliau rela jumlah anggota TDM kecil asalkan mereka yang terbaik dan berkualiti.
“Tidak guna memiliki anggota yang ramai jika sebahagian besarnya ejen perosak dan janganlah kerana sikap mereka ini, semua pasukan akan menerima kesannya.
“Kita tidak memerlukan orang yang tidak jujur dalam TDM, tetapi kita mahukan warga yang profesional dalam melaksanakan tanggungjawab agar kita sentiasa disegani,” katanya.