Harian Metro

‘Jika beracun kami mati dulu’

-

Baling: “Saya yakin laksa dijual tidak tercemar, malah disediakan dengan baik seperti biasa. Jika ia beracun, kami pasti mati dulu kerana kami merasa kuah sebelum dijual kepada orang ramai,” kata pemilik gerai jualan laksa kebok, Daud Ismail, 51.

Dia kesal selepas jualannya itu dikaitkan dengan kematian dua mangsa daripada satu keluarga di Gerik, Perak kelmarin akibat keracunan makanan manakala 17 lagi mengalami cirit-birit, muntah dan pening.

Daud dari Kampung Landak, Kupang, mendakwa setiap kali sebelum laksanya dijual, dia dan ahli keluarga merasa terlebih dulu kuah laksa disediakan.

“Kami berniaga 15 tahun, cuma baru tiga tahun berniaga gerai di depan rumah.

“Kami pasti merasa dulu laksa sebelum dijual sama ada masin, tawar atau sebaliknya,” katanya, di sini, semalam.

Katanya, selain itu, tiada sebarang bahan tambahan dimasukkan ke dalam laksanya selama ini.

“Kami masak macam itu dari dulu, ‘ubat tahan’ (bahan pengawet) pun tak pernah dimasukkan dalam masakan. Jika orang nak beli bawa balik jauh kami asingkan kuah sebab tidak mahu basi.

“Saya hanya tahu laksa dijual dikaitkan dengan keracunan selepas Pejabat Kesihatan Daerah Baling berkunjung dan melakukan pemeriksaa­n jam 11 pagi, Ahad lalu,” katanya.

Katanya, mereka mengambil sampel laksa, kuah dan sayur.

Daud berkata, kali kedua mereka membuat pemeriksaa­n jam 9 pagi kelmarin namun mengambil sayur saja.

“Kami hanya tahu dua orang mati selepas makan laksa malam Ahad lalu selepas menerima mesej yang tular.

“Selepas itu, saya susah hati dan risau serta terfikir siapa lagi yang akan datang ke rumah,” katanya.

Daud berkata, dalam mesej tular itu turut mengaitkan pucuk selom sebagai punca namun daun berkenaan hanya digunakan dalam hidangan laksa pada Isnin hingga Ahad manakala salad pada Rabu dan Sabtu.

“Pucuk selom saya beli di Sik manakala salad dibeli dari pasar di Pekan Kupang dan setiap minggu saya beli di tempat sama.

“Kesan tular itu jelas terasa apabila ramai pengguna jalan raya memperlaha­nkan kenderaan dan menoleh ke gerai jualan kami,” katanya.

 ??  ?? DAUD
DAUD

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia