Harian Metro

Kepayahan mula terasa

- Syanty Octavia Amry soctavia@nstp.com.my

„ Penduduk jangka alami kesukaran pada hari kedua gangguan air

Hari pertama gangguan bekalan air semalam belum menjejaska­n rutin harian penduduk di sekitar Bandar Bukit Puchong.

Ia berikutan tangki di atas bumbung rumah masing-masing masih mampu menampung jumlah penggunaan untuk sehari.

Tinjauan NSTP mendapati walaupun kebanyakan perumahan tiada air, penduduk masih mampu melakukan aktiviti seperti biasa.

Penduduk, Nik Adnan Nik Man, 40, berkata, setiap kali berlaku gangguan air pada hari pertama biasanya air masih cukup untuk digunakan.

“Tangki di atas rumah masih cukup untuk digunakan pada hari pertama. Biasanya keadaan mulai sukar pada hari kedua, jika bernasib baik air daripada tangki masih boleh digunakan dan jika sebaliknya terpaksa mendapatka­n bekalan daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).

“Mujur SYABAS sentiasa menepati waktu menghantar air di kawasan ini, jadi tiada masalah untuk saya,” katanya.

Masalah gangguan bekalan air SYABAS bermula semalam sehingga Jumaat. Gangguan berlaku akibat kerja penggantia­n perkakasan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

SYABAS juga menjangkak­an tempoh pemulihan bekalan air selepas pengoperas­ian semula loji kepada pelanggan berbeza-beza mengikut kawasan.

Imam Masjid Bandar Bukit Puchong, Ahmad Zaidee Abu hassim, 47, berkata, setiap kali berlaku gangguan bekalan air, mereka diberi notis dan pihaknya akan memohon sekurang-kurangnya dua tangki statik untuk diletakkan di masjid berkenaan.

“Apabila mendapat notis awal mengenai gangguan air, kami mempersiap­kan dua tangki besar untuk kegunaan semua terutama untuk berwuduk, mandi dan kegunaan asas. Tetapi, ada segelintir peniaga bersikap degil datang menadah air berbaldi-baldi untuk urusan perniagaan mereka.

“Bagi saya tidak bagus begitu kerana saya sendiri mempersiap­kan semua itu untuk keperluan orang ramai tetapi apabila ada yang berlebihan menggunaka­n bekalan itu, ia menyusahka­n orang lain,” katanya.

Ahmad Zaidee gembira atas sikap prihatin SYABAS yang sentiasa memantau tangki berkenaan supaya sentiasa ada air.

“Mujur SYABAS sentiasa pantau kalau tidak susah juga untuk orang ramai datang menunaikan solat di sini.

“Biasanya untuk hari pertama bekalan masih cukup tetapi pada hari kedua dan seterusnya keadaan mula tidak terkawal apabila orang ramai mula datang memenuhi masjid untuk mendapatka­n bekalan air,” katanya.

Sementara itu, peniaga makanan, Suhaila Jaafar, 36, berkata, gangguan air turut merugikan dirinya yang terpaksa tutup kedai.

“Biasanya dalam sehari saya boleh dapat sehingga RM1,000 dan apabila tutup kedai sampai tiga hari memang rasa rugi dan terpaksa duduk di rumah saja,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Perhubunga­n Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad ketika dihubungi berkata, setakat semalam operasi Pusat Khidmat Setempat (PKS) berjalan dengan lancar.

“Sebanyak 62 lori tangki air dan 10 lori tangki jumbo digerakkan di semua lapan kawasan PKS yang disediakan SYABAS.

“Kami berharap orang ramai yang ingin mendapatka­n bekalan air boleh datang ke PKS berdekatan yang disediakan dan sebarang aduan juga boleh dibuat di situ,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatka­n maklumat terkini SYABAS boleh melayari laman sesawang di www.syabas.com.my, Facebook ‘Air Selangor’, Twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor, yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store.

 ??  ?? AHMAD Zaidee memeriksa tangki air yang diletakkan di pekarangan masjid pada hari pertama gangguan bekalan air di Bandar Bukit Puchong.
AHMAD Zaidee memeriksa tangki air yang diletakkan di pekarangan masjid pada hari pertama gangguan bekalan air di Bandar Bukit Puchong.
 ??  ?? SUHAILA mengangkut air dari rumah untuk kegunaan di gerainya.
SUHAILA mengangkut air dari rumah untuk kegunaan di gerainya.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia