Harian Metro

Siasat tuntutan palsu

- Junita Mat Rasid junita@nstp.com.my

„ SPRM tahan pengarah urusan bergelar datuk dan enam pegawai eksekutif syarikat swasta

Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pengarah urusan bergelar datuk dan enam pegawai eksekutif syarikat swasta untuk membantu siasatan berhubung kes berkaitan tuntutan palsu penyelengg­araan jalan.

Hasil siasatan dijalankan mendapati semua suspek membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penyelengg­araan jalan kampung di sekitar Johor dari 2014 hingga kini sedangkan kerja terbabit tidak dilaksanak­an.

Jumlah kos penyelengg­araan membabitka­n RM50 juta sehingga RM70 juta setahun dan anggaran tuntutan palsu bagi tahun ini saja RM2 juta, manakala jumlah tuntutan palsu bagi tahun sebelumnya masih dalam siasatan SPRM.

Lima suspek lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30-an hingga 60-an dari syarikat sama itu ditahan di Pejabat SPRM Johor jam 9 malam kelmarin bagi membantu siasatan yang dijalankan.

Menurut sumber, siasatan masih diteruskan bagi mengesan dan membuktika­n syarikat lain yang terbabit di sebalik tuntutan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias mengesahka­n penahanan suspek dan memaklumka­n SPRM mendapat perintah menahan reman tiga suspek selama enam hari sehingga Ahad ini, manakala tiga lagi suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.

Beliau juga memaklumka­n kes itu membabitka­n projek pembinaan dan penyelengg­araan jalan kampung yang sepatutnya menjadi kepentinga­n masyarakat luar bandar dan SPRM tidak berkomprom­i dengan tindakan kakitangan syarikat terbabit yang membelakan­gkan kepentinga­n awam.

Katanya, anggaran keseluruha­n wang tunai disita melebihi RM800,000 dan beliau tidak menolak kemungkina­n akan ada lagi tangkapan ke atas individu lain yang terbabit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia