Kanak-kanak cirit, selesema
Palu: Kakitangan kesihatan di Indonesia berdepan kesukaran menjaga puluhan ribu orang yang hilang tempat tinggal akibat gempa bumi dan tsunami, dengan kekurangan tempat perlindungan serta bekalan air bersih antara masalah terbesar dalam ada fokus berubah daripada merawat kecederaan kepada ancaman penyakit.
Jumlah kematian rasmi akibat gempa dengan magnitud 7.5 serta tsunami pada 28 September lalu itu meningkat 2,010 orang dengan kebanyakan kematian di Palu. Lebih 10,000 orang cedera.
Kira-kira 70,000 orang hilang tempat tinggal dengan ramai mangsa di Palu serta kawasan sekitar berlindung dalam struktur asas diperbuat daripada kayu serta plastik yang dikutip dari puing.
Ketua perkhidmatan kesihatan jabatan kesihatan wilayah, Dr Jumriani berkata: “Sejujurnya kami tiada kapasiti untuk mengatur dan memfokuskan usaha kami sekarang.
“Kem penduduk berselerak dan begitu juga sukarelawan kami.
“Pada mulanya kami merawat mangsa cedera. Sekarang perkara utama yang membimbangkan kami adalah cirit-birit, selesema dan penyakit kulit akibat kekurangan bekalan air bersih dan pendedahan,” katanya.
Perancangan untuk memindahkan mereka yang hilang tempat tinggal kini dalam perancangan dengan agensi bencana bercadang menyediakan 10,000 khemah.
Buat masa ini, mangsa yang terselamat berlindung dalam khemah tarpaulin di tepi jalan, kebanyakannya tanpa tandas sempurna dengan dikelilingi puing dan sampah. Jika ada tandas sementara, ia digunakan puluhan orang.
Seorang ibu, Megawati, 31, berkata: “Kini bekalan makan dan air kami mencukupi, tetapi kanak-kanak mula cirit-birit dan selesema.”
Sementara itu, seorang doktor sukarelawan menganggarkan sehingga 40 peratus mangsa yang hilang tempat tinggal kini mengalami cirit-birit, kebanyakannya kanak-kanak bawah usia enam tahun.
Dr Fauzan Abdul Hadi berkata, ubat dan peralatan dibawa dari pejabat wilayah, selain pos perubatan didirikan, namun perkhidmatan ditawarkan tidak teratur.
“Buat masa ini kami hanya mampu membantu kes satu persatu. Tiada berita mengenai bantuan perubatan lebih sistematik daripada kerajaan,” katanya. - Reuters