Harian Metro

Di mana Fabinho?

-

London: Persoalan mengapa pemain baharu yang dibeli Liverpool, Fabinho masih belum diturunkan Juergen Klopp sepanjang musim ini mula mendapat perhatian pemerhati dan peminat kelab itu.

Bagi pengulas sukan yang juga bekas penyerang Liverpool, Craig Bellamy, bos Liverpool itu memang menyedari keadaan berkenaan dan sentiasa memberi ruang kepada pemainnya merebut tempat.

Fabinho menyertai The Reds dari Monaco pada Mei lalu dengan nilai perpindaha­n £43.7 juta (RM237.86 juta). Pemain antarabang­sa Brazil ini mempamerka­n aksi menarik sepanjang tiga tahun beraksi di Perancis sebelum diketepika­n Liverpool.

Sehingga lapan perlawanan liga setakat ini, Fabinho masih belum mendapat tempat dalam kesebelasa­n utama pasukan.

Pemain berusia 24 tahun ini hanya tampil tiga kali termasuk dua kali dibawa masuk di babak kedua ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain dan Napoli.

Dia juga diturunkan ketika perlawanan Piala Liga menentang Chelsea bulan lalu, tetapi dikeluarka­n sebelum Liverpool tumbang 1-2.

Selepas seri tanpa jaringan dengan Manchester City pada Ahad lalu, Bellamy mendesak supaya The Reds segera memburu pemain tengah yang kreatif.

“Mereka sebenarnya sudah cukup mantap, Liverpool sudah mantap terutama dengan kehadiran (Virgil) Van Dijk,”

“Saya tidak pasti adakah mereka perlukan seseorang yang lebih daripada itu.

“Saya rasa mereka perlukan pemain tengah bertahan yang mempunyai kreativiti kerana dia akan menguasai banyak bola,”

Bagaimanap­un, seorang lagi bekas bek Liverpool, Jamie Carragher mencelah pendapat Bellamy dengan menegaskan, Fabinho adalah pemain yang memiliki karakter seperti yang diperlukan pasukan.

“Sebab itulah Fabinho dibeli, dia berharga lebih £40 juta (RM217.72 juta),” kata Carragher.

Bagaimanap­un, Bellamy berkata, Jurgen Klopp perlu risau kerana Fabinho masih belum mencapai tahap yang diperlukan pasukan.

“Ya, cukup jelas. Wujud kebimbanga­n kerana dia masih belum beraksi,” katanya mengenai Fabinho.

Setakat ini, Liverpool masih mampu mengekalka­n rentak cemerlang di Liga Perdana walaupun Fabinho tidak beraksi dan kini berkongsi 20 mata dengan Manchester City dan Chelsea. - Agensi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia