Ciptaan SMK Seri Muda pikat juri
Georgetown: Produk pot penyiram sendiri atau
ciptaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Muda, Penaga berjaya menarik perhatian juri, sekali gus dinobatkan pemenang Anugerah Pencapaian Produk Terbaik, Young Entrepreneur (YE) Annual Achievers’ Showcase 2018 di Universiti Sains Malaysia (USM), semalam.
Produk inovatif ciptaan pasukan Semuda Enterprise sekolah terbabit itu turut berfungsi sebagai pasu yang boleh ditanam pokok hiasan dan mampu menyerap air walaupun dibiarkan sehingga lima minggu tanpa disiram.
Ketua pasukan, Batrisyia Aqilah Wan Zawawi, 16, berkata, produk berkenaan adalah idea kedua mereka, tercetus selepas ahli pasukannya tidak berpuas hati dengan fungsi dan kualiti produk pertama yang tidak mempunyai gabungan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Katanya, produk itu diilhamkan mereka secara tidak sengaja pada Jun lalu ketika memasang pelita menjelang Hari Raya Aidilfitri yang mana mereka dapati keupayaan sumbu mampu menyerap minyak bagi menyalakan pelita terbabit.
“Kami seramai 26 ahli masing-masing menyuarakan pendapat bagi menambah baik idea berkenaan dan didapati ia sesuai jika diaplikasikan pada pasu bunga, yang mana boleh ditinggalkan dalam tempoh lama.
“Misalnya kita tinggalkan ia sepanjang cuti penggal sekolah, tidak perlu risau lagi jika tidak siram pokok berkenaan malah ia kekal segar bagi tempoh yang lama,” katanya ketika ditemui, di sini.
Program yang dirasmikan Pengerusi Malaysian American Electronics Industry (MAEI), Datuk Seri Wong Siew Wai itu disertai 450 pelajar daripada 15 sekolah menengah sekitar Pulau Pinang, malah setiap sekolah mendapat tajaan kos dan nasihat daripada syarikat ternama yang terbabit.
Pelajar diberi tempoh selama sembilan bulan bagi mencipta dan menyiapkan produk bercirikan STEM dan menjualnya kepada orang ramai menerusi satu aktiviti jualan yang diadakan pada Ogos lalu di Pusat Beli-Belah 1st Avenue, dekat sini.