Natasha solo balik
Pelakon sahkan spekulasi penceraian heboh diperkata netizen
“Saya sudah bergelar solo dan kami berpisah secara baik. Maaf, buat masa ini, saya tidak dapat mengulas lebih terperinci mengenai perpisahan kami.
“Saya harap semua pihak beri saya dan keluarga ruang untuk menyelesaikan perkara berkaitan terlebih dahulu,” kata pelakon Natasha Hudson, 36, ketika mengulas dakwaan dirinya sudah bercerai seperti yang diperkatakan netizen di laman sosial ketika ini.
Ia susulan status yang dimuat naik Natasha di Instagram pada 25 September lalu yang mencetuskan spekulasi ramai berhubung perceraiannya itu.
Menurut Natasha, dia dan suaminya, Carleed Khaza atau Khalid Kamal sudah bercerai secara baik tahun ini.
“Saya dalam keadaan baik dan hidup perlu diteruskan bersama anak-anak seperti biasa.
“Saya percaya Allah SWT lebih mengetahui dan sebaik-baik perancang,” katanya.
Natasha yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, semalam berkata, buat masa ini dia sibuk menjayakan misi kemanusiaan di Lombok, Indonesia.
Misi kali ini dilakukan dengan kerjasama Global Peace Malaysia, Cinta Syria dan Amalhope.
“Selain perniagaan, hidup dan kebahagiaan saya dengan melakukan misi kemanusiaan dan kerja amal,” katanya.
Natasha dan penyanyi dan komposer muzik, Carleed berkahwin pada April 2012 dan ia perkahwinan ketiganya.
Hasil perkongsian hidup dengan Carleed, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Naeema Kalila dan Faatimah.
Dalam perkahwinan terdahulu, Natasha memiliki seorang anak, Neesa Helena.