REDAH BAH DALAM PANTANG
Wanita baru lahir anak lelaki dibawa ke PPS selepas kediaman dinaiki air
Dugaan seorang wanita yang masih berpantang apabila terpaksa meredah air bersama bayi lelakinya berusia 16 hari selepas kediaman mereka di Kampung Alor Senjaya, Titi Gajah, di sini dinaiki air, kelmarin.
Suri rumah itu, Mahani Mahadi, 31, terpaksa berpindah bersama suaminya Saiful Danial Abdullah, 32 ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah kerana bimbang dengan keselamatan anak bongsu mereka.
Mahani berkata, hujan lebat sejak Isnin lalu menyebabkan air dalam parit berdekatan kampungnya tersumbat sehingga aliran air melimpah membanjiri kampung berkenaan.
“Air naik dengan cepat... Saya tidak sangka hujan lebat menyebabkan air melimpah masuk ke dalam rumah, dan apabila air banjir mencapai paras betis saya, suami mengambil keputusan bermalam di PPS SK Titi Gajah kerana bimbang anak bongsu sakit.
“Saya tiba di sini (PPS) dalam jam 9 malam tadi (kelmarin) dan pihak pengurusan PPS banyak membantu dengan menyediakan kelengkapan tidur untuk anak saya serta makanan,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang melawat PPS SK Titi Gajah, di sini, semalam.
Katanya, dia yang mempunyai enam anak lain berharap dapat pulang ke rumah bagi melihat keadaan rumah mereka.
“Ini (semalam) hari kedua saya di sini dan saya berharap dapat pulang kerana air mulai surut. Namun, anak mengalami demam kuning sekali gus menyukarkan saya untuk berbuat demikian.
“Sudah banyak kali sebenarnya banjir kilat ini berlaku di kawasan rumah saya kerana sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik menyebabkannya tersumbat dan melimpah ke dalam rumah penduduk,” katanya.
Sementara itu, hampir 100 mangsa banjir menerima bantuan kewangan dan makanan daripada Mukhriz yang turut meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat PPS berkenaan.
Mukhriz berkata, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri itu yang terjejas akibat bencana alam seperti di Kota Setar, Baling dan Kubang Pasu.
“Banjir yang berlaku disebabkan air laut pasang bertembung dengan aliran air di empangan kendalian Lembaga Kemajuan
Pertanian Muda (MADA).
“Pada satu tahap air di empangan itu sudah penuh, MADA terpaksa melepaskan air dari empangan ke sungai dan terusan.
“Apabila air memenuhi sungai ia melimpah ke kampung berdekatan,” katanya.