RMS murka tindakan segelintir ahli FAS bikin onar
Kuala Lumpur: Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan tindakan segelintir ahli gabungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang sengaja memporak-perandakan keharmonian badan induk berkenaan.
Ini termasuk tindakan mereka yang membangkitkan isu remeh dan mendesak Kongres Luar Biasa (EGM) diadakan, sekali gus merombak keseluruhan Exco yang baharu dilantik pada Julai lalu.
Malah, Tengku Amir melabel tindakan berkenaan sebagai ‘rampasan kuasa’ demi menjaga kedudukan dalam FAS.
“Beta tidak bersetuju untuk EGM ini dipanggil. Beta tidak faham mengapa rombakan perlu dilakukan apabila kerja baru saja mula dilakukan, lebih-lebih lagi apabila sebab yang diberikan amat lemah.
“Akan tetapi, beta tidak menyalahkan ahli gabungan kerana percaya mereka sudah dimanipulasi, ditipu malah diugut oleh beberapa individu untuk menandatangani memorandum terbabit.
“Individu ini adalah serigala berbulu domba, penuh dengan kepentingan diri sendiri dan bukannya hendak bekerjasama demi kemajuan FAS,” kata Tengku Amir yang dilantik sebagai presiden, menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal yang melepaskan jawatan pada Julai lalu.
Beliau turut kecewa dengan sikap ahli gabungan yang gemar memanipulasi dan mengambil kesempatan di atas Statut FAS, bagi menjatuhkan beberapa pihak biarpun barisan kepimpinannya tidak melakukan kesalahan di dalam persatuan.
“Apabila beta membuat kenyataan pada 5 Jun lalu, selepas menerima pencalonan sebagai presiden, beta nyatakan secara terang bahawa perubahan menyeluruh harus dilakukan.
“Akan tetapi terdapat individu tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan menggunakan Statut FAS yang sudah diolah, untuk melindungi diri sendiri.
“Sebagai contoh, alasan yang digunakan untuk mengadakan EGM langsung tidak munasabah, tetapi ia masih boleh diteruskan dan perkara ini sangat tidak masuk akal.
“Beta juga merasa sangat terkilan kerana masa ini patut digunakan untuk meneliti dan merancang untuk persiapan musim tahun hadapan, termasuk mencari penaja bagi menambah dana persatuan.
“Sebaliknya, langkah tidak bertanggungjawab ini menyebabkan masa orang yang jujur dan bekerja keras demi FAS dibuang begitu saja. Tambahan pula, beta murka apabila terdapatnya Exco yang menyokong pergerakan EGM ini secara terbuka, walaupun ia bukan pendirian majoriti besar,” katanya.
Menerusi pendedahan Sukan NSTP sejak Selasa lalu, segelintir ahli gabungan FAS diketuai Presiden Kelab Bolasepak Frenz United, Roslin Shariff mendesak EGM diadakan.
Mereka mendakwa hak dan kepentingan ahli gabungan ditindas dan diketepikan termasuklah pemecatan 55 individu dan wakil dari kelab gabungan menganggotai Jawatankuasa Tetap FAS tanpa sebab munasabah.
Malah, beliau turut mendakwa pelantikan dua Naib Presiden iaitu Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal Hamidon dibuat secara tidak sah, namun ia disangkal Timbalan Presiden, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang mengesahkan pelantikan terbabit adalah sah kerana mengikut Statut FAS.