UPSI perkenal STEM di sekolah harian
Komuniti Orang Asli terus menjadi kelompok yang diberi perhatian Universiti Pendidikan Sultan (UPSI) untuk memperkenalkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Baru-baru ini, UPSI menerusi penuntut diploma Fakulti Sains dan Matematik mengadakan program Karnival Akademik, Kokurikulum dan Sahsiah di Sekolah Menengah Kampung Perak, Batu Kurau, Perak bagi menggalakkan pendekatan STEM dalam pembelajaran.
Program Diploma meets Community (DmC) itu terus mengorak langkah melalui DmC STEM-it! Crew bagi memperkenalkan konsep STEM di sekolah menengah harian.
Malah program yang mendapat kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI itu membabitkan 13 penuntut diploma dengan membawa enam pameran STEM berunsur amali dan kepekaan fikiran.
Penasihat DmC STEM-it! Crew, Dr Mohamad Termizi Borhan berkata, selari dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 yang menekankan kepada konsep robotik, teknologi pintar, Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan dan realiti maya, maka pembelajaran STEM haruslah berevolusi supaya kekal relevan serta kompetetif.
Baginya, dari perspektif ekonomi, bidang STEM adalah pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada masa akan datang bagi meningkatkan pelbagai kepakaran.
Selain meningkatkan produktiviti dan daya saing negara ia boleh menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 serta menjayakan agenda Transformasi Nasional (TN50).