Ketabahan bina kejayaan
Nur Aida jadi Timbalan Pendakwa Raya pada
usia 22 tahun sebelum buka firma guaman
“Perlahan-lahan saya bangkit membina ekonomi keluarga. Saya tidak mahu terus hanyut dalam ruang kesedihan dan kemurungan. Jadi saya perlukan seseorang bagi meringankan tugas. Untuk itu saya mengambil pembantu rumah bagi menjaga anak sepenuhnya.
“Dia ditugaskan menjaga anak ketika saya bertugas di luar daerah. Memang saya tidak pernah berenggang dengan permata hati saya. Saya mahu dia tahu pengorbanan saya menjaganya sehingga sekarang,” katanya.
Menceritakan kesukaran hidup bersendirian, jelas
Nur Aida, ia sukar kerana dia langsung tiada pengalaman menjaga si kecil. Bayangkan selepas pantang semua urusan dilakukan sendiri.
“Membawa anak ke hospital ketika kecemasan, berjaga sepanjang malam apabila anak tidak sihat, memahami ragam anak semuanya perlu diselesaikan tanpa bantuan orang lain. Walaupun ada rasa marah dan sedih tetapi mengenangkan amanah Allah saya menjadi lebih kuat,” katanya sayu.
Bercerita mengenai kerjaya, wajah wanita berjiwa besar ini berubah ceria. Sebagai pendakwa raya dia sering diberi tugasan mengendalikan kes jenayah manakala selebihnya adalah kes hartanah, sivil dan harta pusaka.
Ia bukan sesuatu yang mudah kerana sebelum sesuatu kes dibicarakan dia perlu membuat kajian selama beberapa bulan, bertemu ramai saksi, membuat analisis sehingga menemui penyelesaiannya. Pernah ada kes memakan masa sehingga dua tahun untuk diselesaikan.
“Ini bagi memastikan saya mendapat fakta yang tepat. Tidak boleh salah.
Hati juga perlu kental kerana berhadapan keluarga yang didakwa,” ujarnya yang menjadi Timbalan Pendakwa Raya pada usia 22 tahun sebelum membuka firma guaman sendiri Aida Zainuddin & Co pada 2014.
Menurut Nur Aida, selepas enam tahun menimba pengalaman dalam bidang guaman dia semakin yakin untuk membuka firma memandangkan anaknya juga sudah semakin membesar. Inilah masanya dia membuktikan gelaran sebagai ibu tunggal bukan penghalang untuk membina kejayaan.
Mengakui masih wujud diskriminasi dalam kalangan peguam lelaki dan wanita, ia turut diberatkan pada faktor usia. Ada pelanggan beranggapan dia masih be- lum matang mengendalikan kes disebabkan faktor usia dan jantina.
“Saya membuktikan sebaliknya, peguam wanita ternyata lebih teliti dalam setiap kes kendalian mereka. Malah tidak salah mengatakan penyiasat wanita lebih fokus berbanding lelaki. Ini adalah realiti,” ujarnya.
Mengidamkan kerjaya peguam ketika masih di sekolah rendah, ia terdorong apabila menonton televisyen dan melihat bagaimana peguam mengendalikan kes. Selepas itu Nur Aida terus menguatkan semangat untuk belajar bersungguhsungguh bagi merealisasikan cita-citanya.
“Peliknya dulu memang saya pemalu dan pendiam. Pendek kata jika dilihat memang langsung tiada kesamaan kerjaya ini dengan peribadi saya. Ia berubah selepas melanjutkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Saya menjadi lebih terbuka, yakin dan petah berbicara. Memang sudah rezeki, sebaik saja menamatkan pengajian pada usia 22 tahun saya sudah bergelar pendakwa raya,” kata wanita kelahiran Kelantan ini.
Kes pertama dikendalikannya membabitkan penyelewengan bernilai RM1.2 juta. Lanjutan daripada kejayaan itu dia terus diberi kepercayaan mengendalikan kes besar yang turut mendapat liputan meluas media.
“Saya masih ingat oleh kerana sangat beremosi ketika kes dibicarakan saya menangis di hadapan hakim. Sebaik tamat prosiding hakim terus memanggil saya dan menasihati supaya menahan diri agar tidak beremosi.
“Sebagai peguam saya tidak boleh menunjukkan sebarang reaksi sama ada sedih, gembira atau takut ketika membicarakannya kerana ia boleh menjejaskan perjalanan kes. Sebagai peguam, tidak sepatutnya saya berkelakuan sebegitu.
“Sejak itu walau berat sekalipun kes yang diberikan seperti penderaan, rogol bawah umur atau sumbang mahram, saya tetap kuatkan hati untuk tidak menangis,” katanya yang banyak belajar menerusi pengalaman.
Dalam kesibukan menguruskan anak yang kini berusia tujuh tahun, mengendalikan pelbagai kes jenayah dan sivil, wanita ini sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memajukan diri sendiri.
Sebagai peguam dan mempunyai firma sememangnya sudah cukup untuk Nur Aida menyara keluarga. Namun dia ada sebab mengapa perlu bersusah payah menjalankan kajian dan mengeluarkan duit simpanan untuk mengeluarkan produk sendiri.
“Saya terpanggil menghasilkan produk herba Eudhara berdasarkan pengalaman selepas melahirkan cahaya mata. Selama tiga bulan disebabkan tekanan dalam rumah tangga saya langsung tidak menjaga diri. Pantang entah ke mana manakala jamu langsung tidak dijamah.
“Akibatnya badan lemah, wajah tiada seri dan kesannya memang terasa sehingga sekarang. Sebab itu saya tidak mahu wanita lain menjadi seperti saya.
“Mereka perlu jaga dan menyayangi diri sendiri. Paling penting perlu ada kerjaya dan pendapatan untuk kebaikan pada masa akan datang,” jelasnya.
Walaupun bermula sekadar suka-suka, sambutan diterima sangat positif. Ini membuatkan dia ingin terus memajukan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.
“Ini tidak bermakna saya meninggalkan kerjaya peguam. Tidak sama sekali kerana peguam adalah nadi saya dan tidak boleh dilupakan begitu saja,” ujarnya lagi.
Menurut Nur Aida, dia bukanlah tamak mahu mengejar kedua-duanya kerana pada akhirnya bukan profesionalisme menjadi keutamaan sebaliknya perlu seimbangkan di antara kebahagiaan dunia dan akhirat.
“Kerjaya peguam adalah untuk membantu orang ramai keluar daripada masalah mereka. Perniagaan pula membolehkan saya mengeluarkan lebih banyak zakat dan membantu ramai orang lain menambah nilai kehidupan mereka. Inilah harapan saya,” katanya mengakhiri perbualan.-Siti Zarinah Sahib