Harian Metro

Selera lain macam

- Noorazura Abdul Rahman cnews@nstp.com.my

„ Lembu betina gemar makan biskut, roti canai dan minum kopi O

Kebiasaan makanan lembu adalah rumput atau dedak namun bagi seekor lembu betina yang dinamakan Tam di Kampung Batu 14, Pokok Sena di sini, ia gemar memakan biskut, roti canai selain minum kopi O.

Pemilik Tam, Abdul Mutalib Chin, 55, berkata, lembunya itu akan ke halaman rumah setiap petang untuk menikmati hidangan berkenaan sejak setahun lalu.

Katanya, Tam yang berusia 30 bulan mula memakan makanan itu selepas ternakan terbabit tiba-tiba masuk ke ruang tamu di luar rumah dan memakan biskut yang terhidang di meja.

“Ketika itu kami tak perasan Tam masuk ke ruang tamu dan melihat semua biskut habis dimakannya. Sejak itulah, setiap petang Tam ke sini dan saya akan menyuap biskut dan roti canai.

“Pada sebelah pagi, Tam akan makan rumput dengan ibunya seperti biasa di belakang rumah saya. Cuma bila petang, seleranya bertukar.

“Selepas selesai makan biskut atau roti canai, Tam akan minum kopi O panas ataupun teh dalam mangkuk besar,” kata bekas pesara tentera itu.

Abdul Mutalib atau lebih dikenali sebagai Pakcik Lid berkata, dia menyayangi Tam dan menjaga seperti anaknya sendiri.

Katanya, Tam juga mempunyai sifat seperti manusia dan suka bermain dengan kanak-kanak selain prihatin dengan keadaan ibunya.

“Kalau saya panggil, Tam akan segera datang, malah Tam akan berteriak jika ibunya lapar atau terkena terik matahari. Jika saya lambat ke belakang rumah, Tam akan datang memanggil saya.

“Sifat kasih sayang Tam sungguh luar biasa, saya tidak sanggup untuk menambat Tam dan jauh sekali menyembeli­hnya untuk kenduri atau jamuan.

“Walaupun Tam berkulit hitam dan kelihatan bengis, tapi dia sebenarnya sangat manja,” katanya.

Bagaimanap­un, Abdul Mutalib berkata, lembu seberat 150 kilogram itu agak penakut dengan kucing yang dibela di rumah.

 ??  ??
 ??  ?? ABDUL Mutalib memberi Tam makan biskut.
ABDUL Mutalib memberi Tam makan biskut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia