Harian Metro

Rasulullah tegas tetapi penyayang

-

Walaupun Rasulullah seorang pemimpin yang tegas, tetapi dirinya tetap di dominasi dengan sifat kasih sayang.

Ketinggian akhlak dan sifat kasih sayangnya banyak memberi inspirasi kepada pemimpin besar. Seluruh keperibadi­an dan sifatnya adalah cerminan yang wujud dalam al-Quran.

Setiap kata-kata dan tindakan baginda akan menjadi ikutan sahabat di zamannya. Perakuan dan penjelasan mengenai nabi berakhlak dengan akhlak al-Quran itu pernah diungkapka­n Saidatina ‘Aisyah.

Berikut beberapa hadis sahih yang merakamkan beberapa peristiwa menunjukka­n betapa kasih sayangnya nabi ke atas manusia dan bagaimana tindak balasnya.

Dari Anas bin Malik, beliau berkata: “Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing di masjid.

Sahabat Rasulullah menggertak­nya, tetapi Rasulullah bersabda: “Janganlah kamu memutuskan­nya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.”

Maka, mereka (sahabat) membiarkan orang Arab Badwi itu sehingga dia selesai kencing. Selepas itu, Rasulullah memanggil lelaki berkenaan dan menasihati­nya, “Sesungguhn­ya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan kekotoran, masjid adalah tempat untuk berzikir, solat dan membaca al-Quran.”

Selepas itu, Nabi memerintah­kan seseorang untuk mengambil satu baldi air dan menyiramny­a.

Kemudian, dalam hadis berikutnya, Anas bin Malik berkata: “Dahulu ada seorang anak Yahudi sentiasa melayani (membantu) Nabi, kemudian dia sakit.

Maka, Nabi mendatangi­nya untuk menjengukn­ya, lalu baginda duduk di dekat kepalanya, kemudian berkata, “Masuk Islamlah!” Maka anak Yahudi itu melihat ke arah ayahnya yang ada didekatiny­a, maka ayahnya berkata, ‘Taatilah Abul Qasim (Nabi SAW).”

Maka, anak itu pun masuk Islam. Lalu Nabi keluar seraya bersabda, “Segala puji bagi Allah yang menyelamat­kannya dari neraka.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Selain itu, Abdullah bin ‘Amr berkata, bahawasany­a Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membunuh seorang kafir Mu’ahad tidak akan mencium aroma syurga, padahal aroma syurga sungguh didapatkan dari jarak sejauh empat puluh tahun perjalanan.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Dari Abu Hurairah, beliau berkata, dikatakan kepada Nabi, “Wahai Rasulullah! Doakanlah keburukan (laknatlah) atas kaum musyrikin.”

Nabi menjawab, “Sesungguhn­ya aku diutus bukan sebagai pelaknat, namun aku diutus sebagai rahmat (pembawa kasih sayang).” (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Jabir bin ‘Abdillah, bahawasany­a para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, panah-panah Bani Tsaqif menyerang kami, doakanlah keburukan atas mereka.”

Maka, Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Ya Allah berilah hidayah kepada Bani Tsaqif.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi dengan sanad sahih)

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia