Harian Metro

Hafizh teruja buru gelaran rookie terbaik

- Sukhairi Thani sukhairi@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Grand Prix (GP) Jepun akan membuka tirainya di Sirkit Twin Ring Motegi Jumaat ini dengan tiga pelumba negara sudah bersiap sedia mengharung­i pusingan keempat terakhir bagi musim ini.

Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah kembali mengumpul mata di GP Thailand dua minggu lalu dengan menamatkan saingan di tangga ke-12 selepas kali terakhir berada dalam kelompok 15 terbaik di GP Republik Czech, Ogos lalu.

Keputusan berkenaan pasti memberi motivasi buat pelumba Monster Yamaha Tech3 itu untuk lebih menyerlah di Jepun apatah lagi dia kini bersaing sengit dengan seterunya dari Itali, Franco Morbidelli dalam senarai keseluruha­n muka baharu terbaik.

Dengan berbaki empat pusingan lagi sebelum musim 2018 menutup tirainya, Hafizh kini berada di tangga kedua senarai berkenaan, ketinggala­n lima mata daripada Morbidelli - pelumba yang menyertai pasukan pertama negara untuk kelas perdana itu musim depan, PETRONAS Yamaha Sepang Racing.

“Saya tidak sabar ke Motegi kerana ia adalah salah satu sirkit kegemaran saya,” kata Hafizh. “Saya harap dapat melakukan yang baik.

“Saya akan cuba berada dalam kelompok 15 sekali lagi dan cuba menjadi pelumba muka baharu terbaik. Pasukan dan saya, kami sentiasa berusaha gigih dan kami semakin akrab.”

Bagi pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi, dia berharap dapat menemui rentak diinginkan bagi mengharung­i perlumbaan di laman sendiri buat pasukan disertainy­a, IDEMITSU Honda Team Asia.

“Saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk mendapatka­n kembali rentak diperlukan kerana kami mempunyai GP Jepun dan juga perlumbaan di laman sendiri yang menanti selepas itu, GP Malaysia,” katanya yang menamatkan saingan di tangga ke-21 di Sirkit Antarabang­sa Buriram, dua minggu lalu.

Sementara itu, pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin dilihat mahu meneruskan momentum untuk terus berada dalam senarai pungutan mata.

“Di Thailand, saya tidak begitu gembira dengan perjalanan minggu itu, jadi adalah amat penting untuk saya melihat peningkata­n pada perlumbaan seterusnya. Saya perlu mendapatka­n lebih kutipan mata.

“Saya sentiasa mempunyai keyakinan yang baik ketika menunggang di Jepun, jadi saya berasa positif yang kami mampu melakukan yang lebih baik di Motegi,” kata Adam yang kini berada di tangga ke-19 dengan 37 mata dalam kedudukan keseluruha­n Moto3.

 ??  ?? AKSI Hafizh (kiri) ketika di GP Thailand dua minggu lalu.
AKSI Hafizh (kiri) ketika di GP Thailand dua minggu lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia