Harian Metro

Tidak sanggup lihat rakaman anak dilanggar

-

Kuala Lumpur: “Saya menerima panggilan dari rakan anak memaklumka­n Amirah dibawa ke Hospital Putrajaya akibat dilanggar. Pada mulanya saya sangkakan dia hanya terbabit kemalangan kecil. Bagaimanap­un saya terkejut apabila mengetahui perkara sebenar,” ujar Wan Alias Wan Ismail berhubung kes langgar lari anaknya, Wan Amirah Wan Alias, 31, kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa dilanggar lari selepas dirempuh dan diseret sebuah kereta di hadapan bangunan kedai Shaftsbury Square, Cyberjaya.

“Saya reda dengan apa yang berlaku. Bagaimanap­un saya menyerahka­nnya kepada pihak polis untuk mengesan dan menyiasat suspek yang melanggar anak perempuan saya,” katanya ketika ditemui selepas pengebumia­n anaknya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, semalam.

Katanya, dia juga terkejut selepas mendapat tahu tentang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian yang tular sejak pagi semalam.

“Sehingga kini saya tidak sanggup untuk melihat rakaman berkenaan, saya tiada upaya,” katanya.

Wan Alias berkata, anaknya itu aktif dalam sukan lasak seperti menyelam.

“Dia lasak dan aktif, kami pernah ke Maldives bersama-sama kerana dia ingin menyelam dan tahun depan dia juga sudah mengatur pelan untuk ke Finland dan menyelam di sana,” katanya.

Jenazah Wan Amirah disembahya­ngkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismai di sini, sebelum dikebumika­n pada jam 5.30 petang.

Sementara itu, satu rakaman CCTV memaparkan kemalangan menimpa Wan Amirah tular di media sosial sejak pagi semalam.

Menerusi rakaman berdurasi 11 saat itu, dapat dilihat Wan Amirah sedang berjalan kaki melintas jalan sambil tangan kanannya menjinjing satu beg plastik.

Kereta suspek yang dipandu secara melulu dari arah sebelah kiri kemudian merempuh sebuah kereta yang diparkir di tepi sebelah kanan.

Wan Amirah seperti sedar kejadian itu dan cuba berlari anak untuk mengelak namun tidak sempat apabila kenderaan berkenaan sebaliknya terus membelok ke kiri merempuh Wan Amirah dan dua kenderaan lain yang diparkir di kiri jalan.

Kelihatan Wan Amirah tersangkut pada bahagian hadapan kereta suspek sebelum digilis kenderaan itu yang terus dipandu secara laju.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia